Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) berbual dengan sebahagian peserta diiringi Timbalan Mufti Jabatan Mufti Negeri Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (dua kiri) dan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Nazirul Akhmal Samsuddin (tiga kiri) selepas Program Taklimat Pengurusan Jenazah Covid-19 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 26 MAC 2020

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyediakan peruntukan khas sehingga RM20,000 bagi pembelian kelengkapan pengurusan jenazah yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, peruntukan itu bagi kegunaan 35 petugas khas dari seluruh Selangor untuk membeli alat pelindung diri (PPE) seperti mana yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya akan luluskan dengan serta-merta sebanyak RM20,000 untuk digunakan bagi membeli peralatan pengendalian jenazah seperti ditentukan oleh KKM.

“Peruntukan itu baru saja diluluskan hari ini dan kita akan beli (peralatan) secepat mungkin bagi kegunaan 35 petugas khas itu,” katanya pada sidang media di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu JAIS dengan kerjasama Jabatan Mufti Selangor dan KKM memberikan taklimat khas kepada 35 petugas khas untuk pengurusan jenazah Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Hadir sama Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pegawai KKM, Dr Nazirul Akhmal Samsuddin.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, JAIS hanya akan membenarkan petugas khas itu mengendalikan mana-mana jenazah yang dijangkiti wabak itu jika alat pelindung diri (PPE) dibekalkan.

“JAIS sudah melihat kepada keselamatan 35 pengurusan jenazah Covid-19 ini.

“Selagi alat-alat kawalan penyakit itu tidak dibeli, JAIS tidak akan membenarkan mereka menguruskan kes itu,” katanya.

Katanya, 35 petugas khas itu mewakili setiap daerah di Selangor dan mereka berperanan untuk menasihati, menyelaras dan mengambil tindakan sesuai jika wujud kes di luar kawasan.

“Jawatankuasa ini akan koordinasikan peringkat jawatankuasa negeri.

“Peranan mereka dalam menentukan perkara ini dan diselaras dengan baik.

“Kesemua 35 petugas ini akan menguruskan jenazah Covid-19 sahaja ketika ini,” katanya.

Walaupun JAIS tidak dibekalkan PPE, namun pihaknya tidak menolak untuk membantu KKM dari segi koordinasi kes di luar kawasan sahaj.

“Kalau masih tak boleh, kita akan uruskan di kawasan-kawasan tertentu saja,

“Kami bersedia untuk membantu di peringkat itu sebab kita dimaklumkan KKM masih kurang pengurus jenazah terlatih.

“Kita bantu KKM untuk jadi frontliner dalam isu ini, ini jadi fardhu kifayah yang Jais mahu ambil,” katanya. – MalaysiaGazette