Tan Kok Liang

KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta kerajaan membenarkan sektor swasta menangguhkan sumbangan mandatori kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan levi-levi lain termasuk Pertubuhan Keselamatan Pekerja.

Penangguhan sama turut diminta dalam pembayaran cukai korporat dan cukai individu bagi tahun 2019, selain membantu perniagaan membayar 60% gaji pekerja maksimum RM4,000 bagi setiap pekerja bagi tempoh enam bulan akan datang.

Pertimbangan ini dibuat oleh Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, memandangkan ekonomi dan perniagaan di dalam negara kini berdepan dengan cabaran getir disebabkan pandemik Covid-19.

“Sekiranya bantuan dan rangsangan itu tidak dilaksanakan dengan segera, isu kecairan akan memaksa banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pelancongan dan kemudahan terpaksa menghentikan operasi yang menyebabkan sejumlah besar pekerja kehilangan pekerjaan.

“Industri pelancongan mempunyai lebih dari 3.5 juta orang (23.5% daripada jumlah pekerjaan negara kita), mewakili hampir satu perempat daripada semua pekerjaan di Malaysia. Dijangkakan dua daripada lima orang atau 40% orang akan kehilangan pekerjaan, akibatnya ini akan mewujudkan kesan berantai kepada sektor lain.

“Oleh itu, langkah pertama yang kerajaan harus umumkan adalah membenarkan sektor swasta menghentikan sumbangan mandatori kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan levi lain.

”Sumbangan KWSP oleh kedua-dua majikan dan pekerja harus digantung dari bulan Mac 2020 hingga akhir tahun untuk membolehkan majikan menguruskan aliran tunai mereka dengan lebih baik dan pekerja mempunyai lebih banyak wang untuk perbelanjaan harian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua, kerajaan perlu membantu syarikat-syarikat pelancongan dan yang berkaitan dengan menyerap 60% gaji kakitangan sehingga RM4,000 sebulan bagi setiap kakitangan selama enam bulan mulai April hingga September 2020.

”Untuk bulan ini, kami mempunyai anggaran penurunan pendapatan sebanyak 90% dan menjangkakan hasil dari bulan April hingga Mei menjadi tidak praktikal. Permintaan ini mungkin kelihatan “tidak munasabah”, tetapi kami kini berada dalam keadaan luar biasa,” tambahnya.

Tan mendakwa beberapa negara telah mula melaksanakan inisiatif ‘pengekalan pekerja’ dengan negara-negara seperti United Kingdom dan Denmark yang menawarkan pembayaran gaji sehingga 80%.

Singapura, Ireland dan Korea Selatan turut melaksanakan strategi yang sama.

Jelas beliau, langkah ini semata-mata untuk melindungi pekerjaan kerana perniagaan tidak boleh terus membayar pekerja apabila tiada pendapatan – sama ada yang tutup kedai atau kehilangan pekerjaan.

Sama ada penyelesaian yang baik dan menang-menang bagi kerajaan untuk membantu kedua-duanya – majikan dan pekerja dengan berkongsi beban membayar, ujar Tan.

Mengulas mengenai penangguhan pembayaran pinjaman seperti yang dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia, beliau meminta bank-bank membenarkan pengecualian dibuat atas faedah yang terakru dan kompaun pinjaman konvensional semasa tempoh moratorium.

”Bagaimanakah PKS boleh bertahan dengan faedah terkumpul dan dikompaun dan dibayar selepas tamatnya tempoh moratorium? Kompaun kadar faedah tertunggak akan menyebabkan perniagaan lebih menderita dalam tempoh ini,” katanya. – MalaysiaGazette