Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyamaratakan pembahagian peruntukan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata, tidak rugi kerajaan PN mengembalikan peruntukan sama rata itu, walaupun ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan sebelum ini, tidak berlaku adil kepada pembangkang dari Muafakat Nasional (MN).

“Kerajaan baharu Malaysia jangan bertindak seperti yang dilakukan PH. Tidak rugi kita meletakkan keadilan di atas neracanya. Rakyat hari ini sudah cerdik untuk menilai.

“Saya setuju kembalikan peruntukan Ahli Parlimen, bahkan permudahkan prosedurnya pada musim begini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau merakamkan tahniah keada Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen yang secara jujur mengakui kerajaan PH sebelum ini gagal mengubah amalan menyekat peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, sejak mengambil alih kerajaan selepas PRU14 sehingga teraju Putrajaya bertukar baru-baru ini, itulah amalan PH, di mana Ahli Parlimen MN pada masa itu turut disekat daripada menikmati peruntukan.

“Kami hanya diberikan peruntukan sebanyak RM100,000 setahun berbanding Ahli Parlimen PH dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.8 juta.

“Bahkan, bermula Januari 2020, kami diberitahu peruntukan untuk kami mula dibekukan dan tidak dapat dimohon lagi, kebetulannya pula sudah ada penyelaras parlimen yang dilantik oleh kerajaan PH di kawasan parlimen yang dimenangi oleh pembangkang.

“Sewajarnya rakan kami dari PH yang hari ini mula bersuara peritnya tidak diberikan peruntukan memperjuangkan isu ini ketika masih menjadi kerajaan,” katanya.

Menurut Ahmad Fadhli, jumlah peruntukan itu boleh ditentukan kemudian, jika boleh sama rata, itu yang terbaik.

“Jangan diskriminasikan mereka. Jangan jadikan contoh kerajaan negeri Kedah dan Selangor yang mendiskriminasi ADUN pembangkang pada suasana getir seperti ini. Itu resmi perangai kerajaan yang hampir jatuh.

“Saya sendiri pun hingga ke saat ini masih tidak dapat menerima peruntukan untuk Ahli Parlimen kerana beberapa proses pentadbiran yang perlu dilalui dan sebahagiannya tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini bukan menjadi masalah, isu utamanya ialah berikan sahaja peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen. Jangan tiru budaya buruk yang diamalkan PH sebelum ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya kurang setuju kalau disama ratakan, sebab ada jurangnya dalam mengubah setuasi sokongan. Kalau bagi satu perempat dari peruntukan pemerintah itu boleh diterima. Kalau disama ratakan itu tidak mungkin kerana ada buruknya dipihak kerajaan.

Comments are closed.