foto: Ihsan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
KUALA LUMPUR –  Seramai 81 rakyat Malaysia dan tanggungan mereka yang direpatriasi dari Itali selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini.
Pesawat sewa kas AirAsia yang membawa warga Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata,  kesemua mereka akan menjalani proses kuarantin di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Misi repatriasi ini adalah hasil kerjasama rapat di antara Kementerian Luar Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM, Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pesawat sewa itu menerbangkan 34 orang pelajar dan lapan orang pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta ahli keluarga mereka selain tujuh belas orang kru pesawat dan tujuh orang penjawat awam iaitu seorang daripada Kementerian Luar Negeri, seorang kakitangan NADMA dan lima orang kakitangan KKM.
Itali terjejas teruk daripada penularan Covid-19 dengan mencatatkan 683 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 7,503 orang. – MalaysiaGazette