Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- AirAsia Group Bhd. dijangka merekodkan kerugian teruk melebihi RM1.1 bilion tahun ini disebabkan oleh wabak Covid-19.

Affin Hwang Capital dalam nota penyelidikannya hari ini berkata, langkah drastik syarikat penerbangan itu yang menggantung sementara semua penerbangan antarabangsa dan domestiknya bermula 28 Mac hingga 21 April ini menunjukkan cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh industri penerbangan.

“Bagi terus mengukuhkan dan mengawal kos, pasukan pengurusan dan pekerja kanan membuat potongan gaji sukarela bermula daripada peringkat atasan sebanyak 100 peratus sehingga ke paras 15 peratus,” katanya.

Selain itu, firma penyelidikan tersebut meramalkan AirAsia akan berunding dengan pembekal-pembekal mereka untuk terus mengurangkan kos operasi antaranya melibatkan pajakan operasi, caj lapangan terbang, bahan api serta kos operasi dan penyelenggaraan.

Affin Hwang Capital menjangkakan syarikat penerbangan tambang murah itu akan mencatatkan kerugian lebih besar pada 2020-2021 selepas merekodkan pendapatan lebih rendah susulan penggantungan penerbangan di samping unjuran terhadap industri.- MalaysiaGazette