JAKARTA – Wabak pandemik Covid-19 yang kini menghantui dunia terus menular tanpa sebarang penawar dengan kes jangkitan terus meningkat.

 

Terbaru, Indonesia tampil membuat ramalan negara itu mungkin berdepan dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 antara 600,000 sehingga 700,000 kes pada bulan hadapan.

Agensi memetik jurucakap kerajaan, Achmad Yurianto berkata, Indonesia ketika ini sedang melihat peningkatan kes dari 60 hingga 369 kes sehari.

Malah pertambahan tujuh kematian menjadikan jumlah keseluruhan mangsa korban meningkat kepada 32 orang petang tadi.

“Daripada perkiraan kami, jumlah populasi yang ramai risiko dijangkiti adalah sekitar 600,000 hingga 700,000.

“Atas sebab itu kerajaan sedang menyediakan satu juta kit ujian bagi pemeriksaan berskala besar untuk mengenal pasti kes positif COVID-19,” katanya.

Achmad berkata, ujian berskala besar itu akan berlandaskan kepada analisa risiko yang membawa maksud, mereka yang langsung tidak terdedah kepada wabak berkenaan tidak dibenarkan mengambilnya.

“Pastinya keutamaan bagi kes-kes ini adalah mereka yang mempunyai kontak dengan pesakit positif Covid-19.

“Apabila seseorang itu positif COVID-19, kami akan mengesan sesiapa sahaja yang mempunyai kontak dengan pesakit itu sepanjang tempoh 14 hari lepas.

“Kita akan buat ujian ke atas semua kontak-kontak pesakit itu, sesiapa sahaja dalam rumahnya juga perlu melalui ujian saringan ini.

“Untuk keputusan lebih cepat, kita akan menggunakan sampel darah.

“Jika ada indikasi jangkitan, ujian ‘swab’ akan dilakukan untuk keputusan yang lebih tepat,” ujarnya. – MalaysiaGazette