Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan pesuruhjayanya yang disahkan positif jangkitan Covid-19 tidak sekalipun menyembunyikan sebarang maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Nama-nama mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesuruhjaya terbabit telah pun diserahkan kepada pegawai penyiasat Pejabat Kesihatan Daerah dengan segera.

Selaras dengan prosedur KKM, Pegawai Perubatan yang dilantik telahpun membuat tindakan susulan dan menghubungi mereka yang disenaraikan, diikuti temujanji untuk menjalani ujian saringan sekiranya perlu.

Suhakam berkata, pada 11 Mac lalu, pihaknya telah mengeluarkan kenyataan media memaklumkan bahawa salah seorang pesuruhjaya telah didapati positif Covid-19.

Dalam kenyataan yang sama, ia turut mengumumkan penutupan pejabat Kuala Lumpur bermula 11 Mac sehingga 14 Mac 2020 bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan secara menyeluruh di premisnya.

Berikutan berita kes positif yang kedua, Suhakam juga telah mengambil langkah untuk memaklumkan kepada mereka yang hadir pada Siasatan Awam pada 2 Mac hingga 4 Mac 2020 lepas, tentang kemungkinan pendedahan kepada virus ini.

Covid-19: Prinsip hak asasi mana Pesuruhjaya SUHAKAM guna?

Suhakam turut menghubungi penganjur program luar yang telah dihadiri oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya tersebut, dari tarikh mereka disyaki terdedah kepada virus itu agar mereka turut memaklumkan perkara ini kepada peserta program berkenaan.

Tambahnya, selaras dengan pengumuman kerajaan bahawa Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terpakai dalam menangani Covid-19 ini, pegawai yang diberikan kuasa wajib untuk memelihara kerahsiaan maklumat di bawah Seksyen 3 (3) akta ini.

Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta ini sekiranya mana-mana orang menghalang atau enggan memberikan maklumat atau memberikan maklumat palsu sekiranya diperlukan oleh mana-mana pegawai yang diberikan kuasa menjalankan tugasnya di bawah akta ini.

Menurut badan itu, ia menyedari tentang keperluan untuk mengimbangkan kepentingan hak orang ramai terhadap kesihatan dan keselamatan berbanding hak pesakit itu sendiri.

Suhakam dengan tegas menyatakan telah melakukan apa yang terbaik berdasarkan keadaan semasa ia berlaku.- MalaysiaGazette