Kamaruddin Jaafar

KUALA LUMPUR – Wisma Putra sedang berusaha mendapatkan sejumlah peruntukan tambahan lebih RM19 juta bagi membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata peruntukan itu merujuk kepada negara yang tiada langsung pesawat komersial keluar masuk dan menjelaskan jumlah itu tidak terpakai untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) kerana masih ada penerbangan komersial keluar masuk di kedua-dua negara tersebut.

“Jadi, saya merayu kepada rakyat kita di sana (AS dan UK) untuk mendapatkan penerbangan pulang secepat mungkin sebelum sekatan perjalanan dan penggantungan penerbangan berkuat kuasa.

“Saya ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia berdaftar dengan pihak kedutaan kita di sana bagi membolehkan bantuan sewajarnya diberikan,” katanya pada sidang media, perkembangan terkini proses repatriasi rakyat Malaysia di luar negara secara langsung, di Facebook rasmi Wisma Putra hari ini.

Sementara itu Kamarudin menegaskan Wisma Putra sentiasa mengambil serius terhadap semua laporan termasuk surat, hantaran di media sosial serta komen di Facebook rasmi Wisma Putra khususnya daripada rakyat Malaysia di luar negara yang mendakwa Wisma Putra seolah-seloah memilih kasih.

“Wisma Putra tidak pernah dan tidak akan sesekali mengamal diskriminasi. Di Nepal misalnya, kementerian sedia maklum bahawa terdapat 37 rakyat Malaysia sedang terkandas di sana, justeru, pihaknya telah mengarahkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu untuk menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya semua Perwakilan Malaysia di luar negara telah diarahkan untuk membuat penilaian situasi krisis COVID-19 di negara yang berkaitan, termasuk risiko sama ada terdapat keperluan untuk pulang ke Malaysia atau sebaliknya.

Menurutnya Wisma Putra juga mengambil maklum mengenai segelintir pihak yang mempersoalkan mengapa Wisma Putra mengutamakan negara yang hanya ada tiga orang rakyat Malaysia terkandas berbanding negara yang ada lebih ramai rakyat kita.

Berhubung perkara itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar menjelaskan sebahagian negara masih membenarkan pesawat komersial keluar masuk justeru itu bantuan yang dihulurkan oleh Perwakilan Malaysia di luar negara termasuk mendapatkan jadual penerbangan baru ke Malaysia dan bukanlah penghantaran pesawat sewa khas ke negara tersebut.- MalaysiaGazette