Oleh Mohd. Shah Abdullah

KETIKA makalah ini ditulis, negara sudah memasuki minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Perintah ini juga sudah dilanjutkan untuk dua minggu lagi sehingga 14 April depan.

Kelmarin (Jumaat), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (Prihatin) bagi meringankan bebanan hidup rakyat yang pasti terpukul dengan wabak Covid-19 ini.

Bukan sahaja Malaysia, malah seluruh komuniti dunia turut merasakan kesan pandemik yang amat berbahaya ini. Sungguh ini suatu pengalaman baru, pastinya bukannya menceriakan rakyat, tetapi sebenarnya menakutkan dan membimbangkan.

Pelbagai andaian, tafsiran, persepsi dan agakan dibuat ketika ini, di sebalik kesungguhan pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan memberikan komitmen untuk menangani pandemik global ini.

Terlalu terpengaruh dengan aliran berita yang bertali arus lewat media sosial tanpa ketentuan sahih palsunya tambah meletihkan dan ada kalanya memualkan.

Di sebalik ujian dan dugaan ini, kehidupan mesti diteruskan jua. Lihatlah, dalam sekelip mata sahaja, rutin dan perjalanan harian hidup kini berubah.

Sesuatu yang dahulunya, sebelum PKP ini dilaksanakan adalah kebiasaan, kini bukan lagi dalam kategori biasa-biasa bagi kita.

Duduk berkurung dalam rumah, mengehadkan pergerakan, tiada lagi sesi ngeteh di warung tepi jalan, restoran mamak atau Starbucks.

Tiba-tiba umat Islam tidak dibolehkan bersolat jemaah di surau atau masjid, acara kenduri kendara ditangguhkan, sekolah ditutup, pusat pengajian tinggi sepi, jumlah kenderaan sudah amat berkurangan di atas jalan raya.

Apabila malam tiba, suasana lebih sunyi dan sepi. Jika duduk berhampiran hutan atau di desa, bunyi cengkerik lebih kuat kedengaran.

“New normal” atau suatu kebiasaan baru kini menjadi realiti rakyat Malaysia, malah seantero dunia.

Demikianlah hakikat baru kehidupan kita, satu kitaran yang tidak pernah dijangka dan dijangkau. Memang diakui bukanlah mudah menyesuaikan diri dengan gaya dan corak perubahan baru kehidupan ini.

Sebagai insan yang suka kebebasan, kita gemar bergerak ke sana-sini, bertemu sanak-saudara, rakan-taulan, mengunjungi kompleks membeli-belah yang tumbuh pesat di negara kita, berkelah di tepian pantai, pergi ke pejabat awal pagi dan balik malam, bersesak-sesak di atas jalan raya, berjemaah di surau   atau masjid, kini semua itu seolah-olah suatu sejarah.

Kebebasan kita diragut secara alami. Kita tiba-tiba kurang berinteraksi secara tatap-muka (interpersonal) dengan sahabat, saudara-mara atau rakan sepejabat.

Bayangkan satu contoh mudah, penulis yang bertugas di universiti kini terpaksa mengolah gaya baru, menukar kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian (online).

Sedangkan, kebenaran yang diluluskan Kementerian Pendidikan Tinggi adalah kaedah mengajar konvensional.

Jika mahu menunggu keadaan pulih dan reda, banyak kelas dan tutorial ketinggalan. Pelajar tercicir pengajian dan proses belajar-mengajar tidak dapat dilakukan. Ilmu tidak harus mati biar pun ancaman pandemik belum reda.

Universiti, sekolah dan pelbagai lagi institusi kini lumpuh tanpa aktiviti, kehilangan roh dan pesona yang selalu dipenuhi kelibat murid, mahasiswa, guru, pensyarah, kuliah, aktiviti kokurikulum dan sarat perdebatan di dalam dan luar bilik darjah.

Bayangkan, jika tiada kelas secara dalam talian, guru atau pensyarah serta murid atau mahasiswa secara alaminya menjadi tepu. Maka, matilah ruang kreativiti, inovasi, berfikir kritis dan bereksperimen secara bebas dan terbuka.

Memerap di rumah, berisolasi dan ada yang menyebutnya sebagai berkhalwat atau beruzlah untuk satu tempoh yang lama memang mencabar sekali.

Mampukah kita menyerap tekanan (stress) hanya dengan menonton sinetron, mendengar muzik, ke dapur, makan, minum dan bergerak ke anjung rumah sebelum melelapkan mata pada malam hari.

Sesungguhnya menyiapkan minda, emosi, rohani dan kekuatan psikologi amat diperlukan ketika ini. Sokongan ahli keluarga amat kritikal ketika ini. Jika tidak, rumah akan menjadi satu penjara emosi yang menakutkan.

Suatu ketika dahulu lontaran gagasan “Rumahku Syurgaku” nyaring bergema. Intipatinya tidak lain untuk mengajak rakyat, khususnya umat Islam di Malaysia menjadikan rumah sebagai zon selesa, aman, harmoni dan bahagia.

Kini slogan itu wajar diulang tayang, ditelaah kembali dan kini adalah masanya untuk benar-benar menghayati serta melaksanakannya.

Anjuran agar kita tetap sahaja aktif biar terpaksa memerap di rumah tepat sekali. Inilah masanya untuk kita merancang dan melaksanakan resolusi  “Rumahku, Syurgaku”.

Inilah masanya untuk membaca secara tertib, berkarya, menulis, melukis, bertafakur dan berfikir tentang perkara-perkara yang boleh menimbulkan sedikit keinsafan diri.

Mungkin selama ini kita kurang waktu bersama keluarga, kurang fokus kepada pengurusan masa berkualiti dan rumah hanya sekadar tempat transit semata-mata. Kini, ruang dan peluang itu tersaji.

Bagi orang Islam, ini ruang waktu kita boleh bersama-sama bersolat jemaah, tadarus al-Quran, membaca hadis, berusrah dan menghidupkan halaqah zikir, misalnya ada yang bersama-sama membaca zikir mathurat selepas Subuh dan Asar, dan ada yang menjadikan wirid Ratib al-Hadad sebagai satu kelaziman!

Yang tidak kurang penting, kita kini berkesempatan dapat duduk bersila atau bersama di meja makan menghadap rezeki bersama anak-anak dan keluarga sama ada pada waktu makan tengah hari atau makan malam. Mungkin sebelum ini kesempatan itu sesuatu yang terbatas.

Di sebalik ujian dan ancaman pandemik Covid-19, rupa-rupanya terselit juga hikmah yang wajib kita syukuri.

Rumahku kini menjadi pelantar taman-taman syurga yang mewangi, harumannya semerbak dan tautan sesama ahli keluarga makin padu, penuh kasih-sayang atau apa yang disebut terhasilnya “mawaddah wa rahmah”. – MalaysiaGazette

Penulis, Mohd. Shah Abdullah adalah Ketua Jabatan Komunikasi/Pensyarah Kanan, Manipal International University, Nilai.

1 Komen

  1. Itu la bila banyak sangat anak luar nikah yang dibuang didalam tong2 sampah, tepi belukar, dalam lubang tandas etc.

    Sama2 lah terima bala dari Allah SWT.

    Diharap kerajaan lebih peka dimasa2 akan datang! Janganlah mempromosi kehidupan liberal!

Comments are closed.