Berita palsu menyebabkan orang ramai berpusu-pusu membuat pembelian panik. - Foto hiasan

Terima kasih Covid-19, disebabkan anda semakin merebak berita palsu hingga ramai yang ditangkap dan didakwa kerana menyebarkan berita palsu.

Demikian sindiran tajam terhadap masyarakat hari ini oleh Penganalisis Jenayah, Shahul Abdul Hamid.

Katanya masyarakat telah menyimpang jauh dari kebenaran, dikelirukan antara palsu dan tidak benar.

Menurut Shahul, yang dikata berita palsu itu sepatutnya dikata fitnah.

Kalau fitnah jelas menyalahi undang-undang, tetapi kalau palsu tak ada undang-undangnya.

Inilah hipotesisnya, mereka bebas mencipta fitnah bertopengkan berita palsu. Tambahan pula penyebar yang ditangkap bukan pencipta atau pencetus.

Psikologi penjenayah katanya, sentiasa mencari helah menghalalkan apa yang dilakukannya.

Misalnya kata dia bukan curi ambil sahaja, itu bukan duit haram tetapi rezeki dia. Ini palsu bukan fitnah.

“Komunikasi dalam masyarakat kita pernah dirosakkan ketika mula merebaknya demam laman sosial dengan menggunakan perkataan dan singkatan rojak yang menyalahi tatabahasa.

“Kini dilihat semua telah terbawa-bawa dengan istilah yang salah. Adakah hanya palsu sahaja yang wujud?

“Rosak bahasa rosaklah bangsa hilanglah keunikan keharmonian budi bahasa dalam masyarakat Melayu,” katanya.

Tambahnya, tindakan membanteras berita palsu itu bagus tetapi dinasihatkan supaya rakyat tidak dikelirukan antara palsu, tiruan dan tidak benar kerana ia tiga benda yang berbeza.

Jelas Shahul, jika berita palsu, beban pembuktian terhadap mereka yang menuduh mesti menunjukkan mana yang dikatakan palsu.

“Setiap yang palsu pasti ada yang asli atau originalnya. Seperti kicap palsu, panadol palsu, gigi palsu, wanita palsu, mata palsu, kaki palsu, tangan palsu, kicap palsu, jenama palsu dan banyak lagi,” katanya.

Tambah beliau, dalam konteks berita, pihak yang menuduh perlu menunjukkan apa dan mana yang aslinya.

Supaya mahkamah boleh tentukan adakah itu asli atau tidak, adakah itu palsu atau tidak, fitnah atau bukan.

Kegagalan pihak yang menuduh menunjukkan mana yang asli bermakna tuduhan berita palsu adalah fitnah dan kesannya, pihak pendakwa boleh disaman.

“Setiap yang palsu ada asal yang aslinya, jika sesuatu didakwa palsu, mesti boleh ditunjukkan yang aslinya atau yang asalnya.

“Jika tidak boleh tunjukkan yang asalnya maka ia bukan palsu, ia adalah asli kerana bendanya sudah ada.

“Palsu tidak boleh dikategorikan sebagai tidak benar dan antara punca kenapa dulu kerajaan Barisan Nasional menggubal undang-undang anti berita tidak benar.

“Bukan undang-undang berita palsu, sebab benar bagi kita, tidak benar bagi orang lain,” katanya.

Beliau memberi contoh, manusia berkaki empat adalah berita tidak benar bukan palsu. Yang aslinya manusia berkaki.

“Contohnya, manusia berjambang hijau adalah berita tidak benar bukan palsu, jika yang sebenarnya manusia itu berjambang hitam, putih atau perang.

“Rambut palsu, bukan tidak benar sebab ada rambut aslinya. Apa di mana salahnya pakai rambut palsu? Dia pakai yang palsu sebab yang asli sudah tidak ada (botak).

“Gigi palsu, betul ada gigi palsu sebab ada yang aslinya, dimana salahnya paka atau sebut gigi palsu?

“Kicap palsu, bukan kicap tidak benar, tetapi lebih tepat kicap tiruan bukan kicap yang asli. Dulu pernah jadi jebaka, orang tanya madu asli ke madu orang asli? Dan ada madu palsu ada madu tiruan. Semua ada.” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Sosial UTM, Shahrin Hashim berkata, sesuatu yang dikatakan palsu secara automatik bermakna ada yang asli atau ori (originalnya). Sekarang orang lebih suka sebut ori atau tak ori.

Jika tidak ada orinya makna dia bukan palsu tetapi asli atau ori.

“Sebagai contoh, tidak ada salahnya yang palsu, maka tidak ada salahnya siarkan berita palsu. Sebab berita aslinya orinya sudah disiarkan oleh media China.

“Ditulis semula dibuat semula, yang palsunya bagi menggambarkan ia adalah tulisan yang asli. Media mestilah bertanggungjawab mendidik dan masyarakat dengan menggunakan istilah yang betul dan tepat.

“Jenayah tidak perlu dilembutkan atau dihalalkan. Tulis je fitnah bagi sesuatu yang tidak benar. Bukan palsu. Media adalah sebahagian daripada ‘The power of controlling the mass’,” katanya. – MalaysiaGazette