Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan sebanyak dua kes kematian baharu berkaitan dengan wabak Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kes kematian akibat Covid-19 yang direkodkan adalah dari Sarawak.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 37 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya pada sidang media di KKM, di sini, hari ini.

Menurut Noor Hisham, kes kematian ke-36 (kes ke-1,941) merupakan warganegara Malaysia yang berumur 47 tahun.

“Lelaki ini telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.10 pagi tadi,” katanya.

Manakala kes kematian ke-37 pula (kes ke-2,471) merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia yang berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan autoimin.

“Wanita ini telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.02 pagi tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, setakat jam 12 tengahari ini, KKM telah merekodkan sebanyak 156 kes baharu.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,626 kes,” katanya.

Selain itu, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, KKM katanya merekodkan sebanyak 91 kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif ke yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 479 kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast