KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini heboh segelintir selebriti tempatan menuntut agar kerajaan menyediakan bantuan khas menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) kepada mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Berikutan itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menerusi Instagramnya menyenaraikan enam permintaan kepada kerajaan.

Antaranya bantuan khas antara RM500 hingga RM1,000 untuk pembelian barang keperluan, skim kerugian seni RM1,000 hingga RM3,000 dan baucer keperluan harian.

Selain itu Seniman turut meminta agar artis yang memerlukan diberikan pemeriksaan Covid-19 secara percuma di hospital kerajaan dan swasta.

Persatuan itu juga memohon agar bantuan khas diberikan sebagai ganjaran dengan memberi penerangan khas tentang Covid-19 kepada masyarakat secara berkesan.

Tuntutan terakhir Seniman adalah bantuan RM1,000 untuk artis yang tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan.

Bagaimanapun cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizan dalam laman sosial Twitter.

Kebanyakannya mengecam tindakan persatuan itu yang disifatkan keterlaluan kerana membuat tuntutan khas meskipun kerajaan telah mengumumkan semua rakyat yang terjejas bakal menikmatinya bantuan menerusi PRIHATIN baru-baru ini.

Ada juga yang menyifatkan golongan itu bongkak kerana membuat permintaan ketika negara sedang berhadapan dengan wabak Covid-19.

“Bongkak betul some artis Malaysia ni I can’t believe how they can demand such thing because apparently without them tv would be ‘boring’. Time government dah okay, artis buat perangai cam haram,”kata @izzatiny.

What makes them feel sooo special and different from other citizens eh? ARTIS IS ALSO RAKYAT!! Which part of that you don’t understand?,” menurut @yayashomel.

Malah ada yang menyarankan agar golongan artis tidak bergantung dengan satu punca pendapatan sahaja.

Menurut Mohd Azim Bin Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Azim, beliau sendiri mengambil keputusan untuk tidak kekal lama dalam industri seni kerana sedar tidak mudah untuk mencari rezeki sebagai artis.

“Ni lah antara sebab aku berhenti meneruskan impian untuk jadi anak seni. Bukan mudah untuk cari rezeki dalam bidang ini. Minat dan impian tidak menjamin masa depan yang cerah dan indah. Beribu anak seni, berapa kerat je yang benar benar bergelar jutawan?

“Yang betul-betul berjaya pun memang tidak hanya bergantung kepada kerja seni mereka, sebaliknya bijak mengatur langkah dalam bidang perniagaan,” katanya.

Pengarah, Aziz M Osman juga tidak ketinggalan menasihatkan rakan seperjungan untuk bertenang kerana masanya tidak sesuai untuk membuat kenyataan ketika ini

“Kepada adik adik artis dan rakan seperjuangan. Ini bukan masa yg sesuai untk buat kenyataan dan bagi pandangan. Lek lu,” ujarnya. – MalaysiaGazette