seorang lelaki menonton siaran pelancaran peluncur roket berganda besar yang dilancarkan Pyonyang semalam. foto Agensi

SEOUL – Korea Utara memaklumkan pelancaran peluncur roket besar berganda yang dilakukan semalam sebagai satu kejayaan.

Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak jauh di pantai timurnya pada hari Ahad – pelancaran terkini yang disifatkan sebagai “tidak sesuai” oleh Korea Selatan di tengah-tengah pandemik koronavirus.

Agensi berita rasmi KCNA berkata, pelancaran itu bertujuan untuk mengkaji ciri-ciri strategik dan teknikal “peluncur roket besar berganda” itu telah diuji beberapa kali sejak Ogos lalu dengan diawasi oleh Kim Jong Un.

KCNA tidak menyebut kehadiran Kim pada ujian terbaru ini yang diketuai oleh Naib Pengerusi parti pemerintah Ri Pyong Chol dan dikendalikan di Akademi Sains Pertahanan Nasional.

“Pengendalian sistem operasi senjata peluncur roket berganda besar ini adalah tugas yang sangat penting dalam merealisasikan niat strategik baru pertahanan negara,” kata Ri semasa ujian itu, tanpa mengulas lanjut.

“Ujian pelancaran telah dijalankan dengan jayanya,” tambah KCNA.

Ia menandakan pusingan keempat ujian bulan ini sejak Korea Utara mengadakan latihan tentera dan melancarkan pelancaran peluru berpandu selepas tiga bulan berehat.

Langkah itu menunjukkan kemajuan pembangunan senjata Pyongyang ketika rundingan menghapuskan penggunaan senjata nuklear dengan Amerika Syarikat yang masih belum ada arah tujuan. – MalaysiaGazette