Kumpulan Search

KUALA LUMPUR – Vokalis utama Search, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman mengumumkan keluar daripada kumpulan tersebut semalam.

Pengumuman tersebut dibuat Amy sewaktu bersiaran secara langsung bersama portal hiburan.

“Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai vokalis Search,” ucap Amy tiba-tiba.

Jelas Amy, penggundurannya itu bagi memberi peluang buat anggota Search yang lain, Nasir, Kid dan Din merancang karier seni masing-masing demi kebaikan semua pihak.

Kata Amy, dia tidak mahu rezeki ahli Search lain tersekat kerana dirinya.

“Dengan pengumuman ini saya berharap agar saya tidak menghalang perjalanan atau karier anggota sedia ada,” katanya lagi.

Amy turut mengaku tidak memiliki vokal baik setelah melewati usia 62 tahun dan kualitinya tidak lagi seperti berusia 26 tahun.

“Hal itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup.

“Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup,” jelas Amy.

Amy bagaimanapun memberi jaminan akan kekal menyanyikan lagu-lagu Search dalam persembahannya selepas ini.

“Sudah pasti saya akan tetap menyanyikan lagu-lagu Search selepas bergerak solo nanti,” kata penyanyi yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru itu.

Spekulasi Amy ingin meninggalkan Search terjadi setelah ayah kepada pelakon Nabila Huda itu menyatakan dirinya sebagai bekas vokalis Search di salah satu gambar di akun Instagramnya, @akuamysearch.

Penyanyi itu bagaimanapun menegaskan dia tidak akan bersara.

“Saya bukan bersara ya. Saya hanya rasmi tidak lagi menjadi vokalis Search dan meneruskan karier solo mengikut usia saya,” tulis Amy.

Ini bukan pertama kali Amy mengundurkan diri dari Search. Amy pernah keluar dari kumpulan yang hit dengan lagu Isabella itu pada 1994 untuk melancarkan karier solonya.

Dia kemudian muncul dengan album berjudul Magic memenangi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album, album Magic, Anugerah Industri Muzik ke-2 pada tahun 1995. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.