Mustafa Ali

KESTABILAN politik dan kerajaan sangat penting di saat negara menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19 yang belum menentu bila akan reda.

Ia sekali gus menjejaskan perkembangan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Buat pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik selepas PRU-14 datang dari parti yang tidak dominan dalam kerajaan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh datang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hanya memenangi 13 kerusi Parlimen.

Muhyiddin juga dari PPBM yang telah dibesarkan sedikit jumlah kerusinya melalui lompatan beberapa Ahli Parlimen UMNO ke parti berkenaan.

Sebagaimana Dr. Mahathir mewakili PPBM yang tidak dominan dalam Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin dan partinya juga tidak dominan dalam Perikatan Nasional (PN).

PN adalah gabungan empat parti utama iaitu UMNO, Pas, GPS, PPBM dan sekumpulan Ahli Palimen yang mengikut Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Setiap kumpulan adalah king maker dan penarikan diri mana-mana satu parti atau kumpulan akan meruntuhkan kerajaan sebagaimana penarikan diri PPBM pada 24 Februari lalu yang menjatuhkan pentadbiran kerajaan PH.

Ini menjadikan kerajaan yang ada sekarang ini tidak stabil. Rakyat bukan sahaja muak, tetapi letih dengan keadaan yang tidak menentu seperti ini.

Parlimen akan bersidang pada Mei ini. Sidang Parlimen ini akan menguji kekentalan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Walaupun tidak ada satu peruntukan yang khusus dalam perlembagaan mengenai undi tidak percaya, tetapi usul percaya atau tidak percaya vote of confidence atau vote of no confidence’boleh dikemukakan dalam Parlimen sebagai usul persendirian.

Walaupun usul persendirian tidak boleh mendahului urusan kerajaan, selama manakah kerajaan boleh mengelakkan diri dari berdepan dengan usul ini?

Peranan Yang Dipertuan Dewan Rakyat juga penting dalam kes seperti ini. Pada ketika ini, tidak ada siapa yang tahu secara tepat berapa ramai ahli parlimen yang memihak kepada kerajaan PN dan berapa ramai yang tidak.

Tidak ada jaminan bahawa lompat melompat tidak akan berlaku lagi kerana fenomena frogging ini sudah hampir menjadi norma dalam politik demokrasi di Malaysia.

Kalau ada seorang hamba Allah yang harus diberi penghargaan kerana menunjukkan contoh tauladan dalam hal ini, beliau ialah Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali. No malice Tok Him.

Berbalik kepada isu kestabilan kerajaan, ia banyak juga bergantung kepada kebijaksanaan Muhyiddin menerajui kerajaan yang mesti dilakukan serentak dengan mengemudi bahtera partinya, PPBM.

PPBM sendiri tidak stabil dan Muhyiddin tidak boleh memandang ringan (kerana) kegagalannya menyelesaikan masalah partinya akan menjejaskan kerajaan.

Saya yakin, beliau memahami dan saya tidak bercadang memberikan apa-apa pandangan.

Jika ditakdirkan kerajaan yang ada sekarang tidak dapat bertahan lama atas apa-apa sebab sekalipun, maka Yang di-Pertuan Agong sekali lagi akan terpaksa memainkan peranannya.

Ada beberapa langkah yang boleh diambil oleh baginda. Antaranya, melantik seorang di kalangan ahli parlimen yang dipercayai baginda boleh mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen atau membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU semula walaupun belum cukup tempoh lima tahun.

Apakah pilihan baginda? Pandangan umum pada ketika ini, jika kerajaan yang ada ini tidak dapat bertahan, mahu atau tidak mahu penentuan kerajaan akan diserahkan kembali kepada rakyat.

Jangkaan saya, Tuanku Yang di-Pertuan Agong akan memilih jalan ini.

Datuk Mustafa Ali ada Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pas dan juga mantan Setiausaha Agung Pas.