ALIFORNIA – Kebanyakan negara telah memberi amaran kepada rakyat masing-masing untuk tidak mempersendakan atau menyebar berita palsu mengenai koronavirus sempena hari “April Fool’ atau mereka berdepan dengan hukuman penjara.

Syarikat gergasi Google, yang terkenal dengan lawak tahunan sempena April Fool telah membatalkan tradisi itu disebabkan pandemik Covid-19 yang telah mengorbankan kira-kira 40,000 nyawa.

Semalam, Thailand memberi amaran sesiapa yang membuat jenaka mengenai virus itu sempena April fool akan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

”Mereka yang mengaitkan Covid-19 dengan April Fool melakukan pelanggaran undang-undang,” kata kerajaan negara itu menerusi Twitter.

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen juga mengingatkan orang ramai tidak melakukan sedemikian rupa dan memberi amaran mana-mana individu yang menyebarkan maklumat tidak sahih boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun atau denda NT$3 juta.

Di India, negeri Maharashtra turut memberi amaran tentang tindakan tegas kepada mereka yang menyebarkan maklumat palsu semasa hari April Fool.

Dengan tajuk ‘Korona bukan lawak’ – Kementerian Kesihatan Jerman menggesa orang ramai tidak menyebarkan berita mengenai virus berkenaan.

Disebabkan kebanyakan orang bergantung maklumat mengenai virus itu melalui Internet dan media, wujud kebimbangan tentang jenaka mengenai wabak itu yang menimbulkan kesilapan maklumat.

Minum air kencing lembu, selain meletakkan bawang semasa merupakan antara mitos yang didakwa boleh menyembuhkan jangkitan Covid-19 antara maklumat tidak tepat yang tersebar luas.

Sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkannya mitos itu sebagai “infodemik”, yang boleh meningkatkan penyebaran virus dalam kalangan individu yang lemah imunisasi badan. – MalaysiaGazette