Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada beberapa syarikat untuk meneruskan operasi sepanjang tempoh perlanjutan Perintah Kawalan Pergearakan (PKP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemain industri tersebut terdiri daripada pengeluar, pemborong, logistik, peruncitan dan e-dagang yang telah diberikan pengesahan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun, pelaksanaan pengoperasian PKP seperti waktu operasi adalah tertakluk kepada arahan lain daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kementerian berharap agar pemain industri memberi kerjasama penuh sepanjang tempoh PKP dan mematuhi syarat-syarat untuk beroperasi yang telah ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata, surat pengesahan KPDNHEP kepada pemain industri hanyalah melibatkan sektor bekalan makanan dan perubatan.

Katanya, pengesahan tersebut juga dipanjangkan kepada setiap rantaian pengedaran serta sub-sektor yang menyokong dan membantu pemain industri dalam sektor bekalan makanan dan perubatan.

Selain itu tambah beliau, kebenaran untuk bekerja hanya terpakai kepada pekerja-pekerja yang disenaraikan di dalam permohonan syarikat yang diluluskan pihak kementerian.

Untuk itu majikan perlu menyediakan salinan surat kelulusan KPDNHEP berserta lampiran senarai pekerja untuk memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja, menghantar bekalan dan pulang ke lokasi kediaman.

Langkah itu katanya penting bagi memastikan penularan virus Covid-19 dapat dibendung secara efektif.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan diminta supaya menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau emelkan kepada [email protected]. – MalaysiaGazette