KUALA LUMPUR – Rakyat sedia maklum pelbagai pakej rangsangan ekonomi diumum kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang melanda negara ini dan seluruh dunia.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, setakat 2 April, kematian di negara ini sudah mencecah 50 orang.

Antar pakej rangsangan yang diumumkan bermula 1 April 2020, pelbagai lapisan rakyat yang layak akan menikmati bantuan antara RM500 hingga RM1,600 setiap isi rumah mengikut kategori.

Bagaimanapun di sebalik itu, ada pula sindiket penipuan yang mengambil kesempatan di atas bantuan kerajaan termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Antara scammer yang dikesan dan ditular adalah bertopengkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta anda mengisi nombor akaun bank, nama bank dan kata laluan akaun bank.

Contoh SMS dari nombor telefon yang dipercayai didaftarkan scammer yang diterima adalah 010-9287873 dengan mesej berbunyi:

Anda lulus menerima BPN. Bayaran akan dibuat dalam masa 24 jam pada hari ini. Sila kemukakan maklumat perbankan untuk kemaskini.

Nama bank:
Bank akaun :
ID Perbankan:
Password online :

Bagaimanapun setiap yang palsu ada yang asalnya atau ‘originalnya’, seperti gigi palsu, kaki palsu dan lain-lain.

Begitu juga dalam isu scammer ini, untuk pastikan ia palsu atau tidak orang ramai dinasihat mencari yang asalnya.

SMS asal daripada LHDN adalah berbunyi begini;

RM0.00 LHDNM: Anda lulus menerima BPN, bayaran akan dibuat pada April & Mei 2020, anda tidak perlu membuat semakan atau permohonan.

Terdahu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan isi rumah dan individu bujang yang sebelum ini telah disenaraikan sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak perlu membuat permohonan baharu bagi BPN.

Bayaran BPN akan dibuat secara terus kepada mereka melalui akaun bank berdaftar di bawah BSH.

Menurut kenyataan itu, mereka adalah tergolong dalam isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah yang akan menerima BPN sebanyak RM1,600 serta individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang layak menerima RM800.

Bagi isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000 dan individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000 yang telah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai pembayar cukai, MOF berkata mereka juga tidak perlu membuat permohonan baharu untuk BPN.

Bayaran BPN sebanyak RM1,000 bagi isi rumah dan RM500 bagi individu yang layak di bawah kategori itu akan dibuat secara terus kepada mereka melalui akaun bank berdaftar dengan LHDN.

Menurut MOF, bagi mereka yang belum berdaftar pula, permohonan baharu boleh dibuat mulai 1 April 2020 menerusi laman sesawang rasmi LHDN di www.hasil.gov.my.

Dalam pada itu, MOF menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan scammers (sindiket penipuan) yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan BPN.- MalaysiaGazette