KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, kerajaan telah mengubahsuai Dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dijadikan sebagai pusat kuarantin dan rawatan bagi menempatkan pesakit Covid-19.

Meskipun, pusat rawatan sementara itu mampu menampung sehingga 600 pesakit namun persoalan adakah ianya mencukupi untuk menempatkan bilangan besar pesakit kes berkenaan sekiranya penularan wabak itu terus meningkat pada masa akan datang.

Sebenarnya, sudah tiba masa untuk kerajaan mengenal pasti tempat dan bangunan awam yang sesuai seperti stadium untuk dijadikan sebagai hospital atau pusat rawatan sementara sebagai langkah persediaan mengharungi cabaran tidak dijangkakan itu.

Menurut Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramiah, gesaan itu juga selaras dengan perkembangan semasa Covid-19 yang dilaporkan semakin membimbangkan dengan bilangan kes positif dan angka kematian wabak berkenaan kian meningkat saban hari.

Katanya, Malaysia mungkin boleh mencontohi pendekatan yang dilaksanakan di negara luar lain seperti di India dalam usaha menangani wabak pandemik itu.

“Misalnya di India, beberapa stadium telah dijadikan sebagai pusat kuarantin sementara bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan terhadap rakyat dijangkiti wabak berkenaan.

“Malah, kerajaan negara itu juga bakal mengubah suai gerabak kereta api sebagai wad berasingan (isolation ward) bagi merawat pesakit  Covid-19. India telah merancang semua itu walaupun ketika ini angka di negara itu belum lagi ke tahap membimbangkan.

“Jadi, mungkin Malaysia juga boleh lakukan perkara seumpama itu dengan mengenal pasti kawasan atau bangunan awam yang sesuai atau pun mengubah suai lebih banyak hospital sedia ada untuk mengendalikan saringan dan rawatan Covid-19.

“Perancangan awal sambil mengambil contoh-contoh negara luar yang bukan sahaja hampir memerangi Covid-19 seperti China sebaliknya juga negara-negara lain yang sedang melalui fasa paling menakutkan ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Setakat artikel ini ditulis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak itu di Malaysia adalah sebanyak 45 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 142 kes positif baharu turut dilaporkan yang menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,908 kes.

Jika mengikut statistik dunia pula, ketika ini sebanyak 935,581 kes Covid-19 dengan Amerika Syarikat (AS) sedang mendahului dengan 215,081 kes manakala Itali sebanyak 110,574 manakala Sepanyol pula 104,118 kes.

Dalam pada itu, Shanmugam memberitahu, langkah mewujudkan lebih banyak pusat rawatan Covid-19 juga dapat menangani penularan jangkitan virus berbahaya itu dengan lebih efektif.

“Cara paling berkesan untuk mengatasi pandemik Covid-19 ini adalah dengan mencegah penularan jangkitan virus itu pada masa hadapan.

“Sejak kebelakangan ini, banyak hospital sedia ada beroperasi pada kapasiti penuh sehingga terpaksa merawat pesakit berkenaan kerana tiada pilihan lain.

“Meskipun, pesakit Covid-19 dirawat secara berasingan, dibimbangi virus dijangkiti oleh mereka boleh merebak kepada orang awam atau pesakit bebas jangkitan wabak itu yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan lain.

“Oleh itu, kerajaan perlu meneliti semua aspek ini dan memikirkan cara terbaik yang boleh digunakan di negara ini dalam usaha menangani wabak Covid-19 dengan berkesan,” ujarnya. –MalaysiaGazette