KUALA LUMPUR – RAM Ratings Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan eksport Malaysia melonjak 16.3 peratus pada Februari 2020 (Januari: -1.5 peratus), didorong kesan asas rendah serta rancangan agar sebahagian besar aktiviti berlaku pada masa awal bagi pesanan, di tengah-tengah kebimbangan mengenai gangguan rantaian bekalan global disebabkan pandemik Covid-19.

Ia berkata, import juga dijangka meningkat pada Februari, walaupun pada kadar perlahan 1.4 peratus (Januari: -2.4 peratus), membawa kepada lebihan dagangan sebanyak RM21.2 bilion.

“Penularan jangkitan Covid-19 menyebabkan keseluruhan prospek pertumbuhan dan perdagangan global menjadi suram, memandangkan banyak pusat penyebaran wabak itu muncul di seluruh dunia.

“Ini termasuk negara utama Eropah dan juga Amerika Syarikat (AS), yang sejak itu mencatatkan kes tertinggi Covid-19,” kata RAM Ratings dalam kenyataan hari ini.

Ekonomi AS — yang terbesar di dunia — adalah pembekal utama nilai tambah di samping pengguna terbesar bagi pengeluaran global.

Di ASEAN, eksport Singapura adalah yang paling terdedah kepada gangguan bekalan AS, kata agensi penarafan itu.

Ia mengatakan 5.9 peratus eksport kasar Singapura adalah daripada input nilai tambah dari AS yang datang dari Malaysia pada 3.8 peratus.

Dari segi permintaan, Filipina dan Vietnam mempunyai pendedahan yang terbesar, dengan masing-masing pada 21.3 peratus dan 21.1 peratus bagi nilai tambah eksport mereka yang digunakan oleh AS.

Ini jauh lebih tinggi daripada purata ASEAN pada 15.4 peratus dan Malaysia pada 14.3 peratus, kata RAM Ratings.

“Berdasarkan skala pandemik dan masa yang diperlukan untuk memerangi wabak itu, apa yang sebelum ini dianggap hanya sebagai gangguan rantaian bekalan bertumpuan China kini telah menjadi isu dunia. Oleh itu, perdagangan global akan menghadapi kelemahan yang berpanjangan dan teruk pada 2020,” menurutnya. – MalaysiaGazette