pengarah syarikat bankrap
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaktifkan semula portal dalam talian MyCoID bagi urusan berkaitan entiti syarikat melalui capaian di https://mycoid2016.ssm.com.my/ bermula hari ini dan beroperasi 24 jam sehari.

SSM dalam satu kenyataan hari ini berkata, transaksi menerusi portal MyCoID ini melibatkan modul-modul pendaftaran pengguna, carian dan permohonan nama, pemerbadanan syarikat (INC), pelantikan setiausaha pertama (AFC) dan serah simpan Perlembagaan (LoC).

Transaksi lain adalah perubahan alamat berdaftar (CRA), perubahan maklumat pegawai (CPO), pengembalian peruntukan saham (RoA), pendaftaran anggota (RoM) dan Penugasan Semula Setiausaha Syarikat (RAC).

Menurut kenyataan itu, walaupun modul pendaftaran pengguna telah diaktifkan, pengguna baharu hanya boleh membuat pengaktifan setelah kaunter fizikal SSM kembali beroperasi bagi membolehkan usaha pengesahan identiti dilakukan.

Selain MyCoID, perkhidmatan dalam talian SSM lain yang telah mula diaktifkan secara berperingkat bermula 28 Mac lepas adalah seperti portal pembekalan maklumat korporat SSM melalui capaian www.ssm-einfo.my (SSM e-Info) dan www.mydata-ssm.com.my (MyData-SSM) serta portal EzBiz Online melalui pautan www.ezbiz.ssm.com.my yang turut beroperasi 24 jam sehari.

“Bagaimanapun, disebabkan jumlah warga kerja SSM serta mobiliti rakan kongsi adalah terhad bagi mematuhi PKP, perkhidmatan dalam talian itu akan diaktifkan secara berperingkat. Status bagi lain-lain perkhidmatan dalam talian dimaklumkan oleh SSM dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Malah, kaunter perkhidmatan fizikal SSM di seluruh negara akan terus ditutup sepanjang tempoh PKP tersebut.

Perkhidmatan itu akan beroperasi sepenuhnya selepas PKP namun tertakluk kepada arahan terkini kerajaan. – MalaysiaGazette