Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 14 April ini akan berdasarkan data penurunan kes positif baharu dalam tempoh enam hari akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan tempoh PKP sama ada dilanjutkan atau sebaliknya akan ditentukan pada 10 April ini.

Jelas beliau, selepas dua hari mencatatkan kes baharu melebih 200 orang setiap hari, ia mula mencatatkan penurunan pada hari ini.

“Besar kemungkinan dua hari lepas
naik kerana kita buat pertambahan akut di Sungai Lui, Hulu Langat dan Simpang Renggam.

“Tapi hari kes baharu sudah berkurang dan semua bergantung kepada kita untuk menentukan lanjutan PKP berdasarkan data kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya apa data yang akan digunakan untuk menentukan lanjutan PKP selepas 14 April ini.

Mengulas kenyataannya semalam yang menyeru masyarakat supaya tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan selama enam bulan ke setahun, Noor Hisham berkata, ia bergantung kepada situasi semasa walaupun terdapat terdapat peningkatan kes baharu pada pertengahan April ini.

“Kita kena tengok pada realiti. Contohnya hari ini MIER ramal kita ada 400 kes tapi baru 150 kes sahaja hari ini.

“Jadikan kita yang tentukan duduk rumah, basuh tangan kerap dan amal penjarakan sosial. Kerjasama di antara kita ada penting untuk putuskan rantaian untuk kekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau turut ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu.

Sementara itu, Noor Hisham turut memaklumkan sebuah hotel di ibu kota akan dijadikan antara 90 pusat kuarantin bagi rawatan jangkitan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.