Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Seramai 4,488 rakyat negara ini yang telah pulang dari luar negara kini sedang menjalani proses kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang diwartakan sejak Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, saripada jumlah itu, hanya 15 individu yang dikesan mempunyai gejala dijangkiti Covid-19.

“Pada mulanya kita tempatkan mereka di rumah masing-masing untuk 14 hari. Memang ada yang positif selepas bergejala di rumah, ada demam dan kita ambil dan masuk pusat kuarantin untuk pemantauan.

“Setakat 3 April saya dimaklumkan ada 1,500 yang balik ke negara ini dan juga kita buat saringan.

“Semalam jumlah meningkat kepada 4,488 orang. Dan ada lebih 15 (orang) yang ada gejala dan kita asingkan dan jalankan ujian Covid-19. Kalau positif kita masukkan mereka ke hospital,” kata Noor Hisham lagi.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 1,188 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara setakat Jumaat lalu, dikuarantinkan selepas kerajaan mewajibkan perintah pengasingan itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebanyak 551 pusat kuarantin telah diwartakan oleh kerajaan dan 107 daripadanya telah beroperasi di seluruh negara setakat semalam. – MalaysiaGazette