Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama petugas Rescue Bencana Malaysia (RBM) membuat kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam pada hari ke-20 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2020

BANGI – Proses sanitasi awam di Bandar Baru Bangi dimulakan hari ini meliputi enam kawasan utama.

Proses yang bermula jam 9 pagi itu melibatkan 31 anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 9 pegawai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), dan 38 pekerja Alam Flora.

Turut terlibat adalah 3 pegawai Pejabat Kesihatan Daerah, 12 anggota Pasukan Rescue Bencana Malaysia (RBM), tiga anggota SWCorp, seorang pegawai KPDNHEP dan tiga AJK Masjid Al-Umm.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat kerja disinfeksi di dalam kawasan sekolah pada Ops Sanitasi Awam pada hari ke-20 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di SMK Bandar Baru Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2020

Antara kawasan yang menjalani proses sanitasi awam adalah Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi, Sekolah Rendah Bandar Baru Bangi, Masjid Al Umm, Dewan Serbaguna Bandar Baru Bangi, Pasar Basah Seksyen 1, dan Surau Al Ittihad.

Ia meliputi sejumlah 1,000 meter persegi.

Operasi nyahcemar ini diketuai Komander operasi, Ketua Zon 4 Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof dan berakhir tiga jam kemudian.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia sebelum membuat kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam pada hari ke-20 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2020

Masjid Al Umm adalah salah satu kawasan di mana empat kes positif Covid-19 dikesan selepas majlis akad nikah yang diadakan pada 6 Mac lalu.

Bandar Baru Bangi merupakan salah satu kawasan di dalam Hulu Langat yang merupakan zon merah bagi Covid-19. -MalaysiaGazette