Penghuni Menara City One diminta mematuhi arahan petugas barisan hadapan kerana kawasan itu berlaku jumlah peningkatan kes positif Covid-19 yang dianggap tinggi bagi satu kawasan penempatan.

KUALA LUMPUR – Penghuni Menara City One diminta mematuhi arahan petugas barisan hadapan kerana kawasan itu berlaku jumlah peningkatan kes positif Covid-19 yang dianggap tinggi bagi satu kawasan penempatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa juga mahu kakitangan dan wakil media yang menjalankan tugas di kawasan yang sama juga memberi perhatian kepada aspek keselamatan termasuk amalan penjarakan sosial.

“Kita menyeru kepada penghuni-penghuni di blok ini agar memberi perhatian yang serius, beri kerjasama kepada petugas-petugas kita di situ. Juga kepada rakan-rakan media saya diberitahu media yang membuat liputan tentang aktiviti yang berlaku di situ tidak begitu mengamalkan penjarakan sosial, saya harap masing-masing dapat menjaga diri dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan kerana kawasan ini dianggap kawasan yang berada dalam zon kuning kerana sehingga semalam sudah ada 25 kes positif Covid-19 dalam satu lokaliti yang kecil, dalam satu menara sahaja,” katanya ketika memberikan perkembangan terkini sekitar Wilayah Persekutuan menerusi Facebook Live hari ini.

Justeru Annuar mahu semua penghuni Menara City One diseru memberikan kerjasama sebaiknya kepada petugas barisan hadapan yang bekerja 24 jam semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan berkenaan.

Sehingga kini beliau memaklumkan seramai 51 petugas terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berada di menara City One itu membuat kawalan PKPD selama 24 jam.

Untuk rekod, Menara Citu One di Jalan Munshi Abdullah di sini merupakan kawasan ketiga PKPD selepas selepas kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat dan Simpang Renggam, Kluang, Johor.

PKPD di menara itu melibatkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan.-MalaysiaGazette