Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (II) Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kiri) meninjau kilang beras Faiza di Subang hari ini.

SUBANG JAYA – Bekalan beras dalam negara tidak terjejas meskipun Vietnam telah membuat keputusan menghentikan pengeksportannya baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (II),  Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jumlah pengeluaran padi tempatan merangkumi 70 peratus pasaran dalam negara dan ia membuktikan tidak berlaku kekurangan bekalan.

“Yang sudah berada di pasaran di antara 400,000 ke 500,000 matrik tan, sentiasa ada dan penggunaan bulanan lebih kurang 200,000 matrik tan. Sekarang ini pun proses penuaian dan sebagainya sedang berlaku dan pemprosesan berjalan di kilang-kilang bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Pengeluaran padi dalam negara yang kita bekalkan dalam lebih 70 peratus daripada penggunaan dalam negara berjalan seperti biasa tidak ada sebarang halangan (tidak terjejas pengeluarannya),” katanya ketika selepas meninjau Kilang Beras Faiza di sini hari ini.

Bagaimanapun, Che Abdullah berkata, kerajaan tetap melihat peluang untuk mendapatkan beras import daripada negara seperti Myanmar.

“Kerajaan melihat peluang import beras dari negara-negara lain seperti Pakistan, beras dari Myanmar baru sampai tadi untuk menampung kekurangan mana-mana import,” tambahnya.

Untuk rekod, kerajaan hanya mengimport 30 peratus beras dari negara luar sebagai langkah untuk menampung permintaan sekiranya berlaku peningkatan mendadak ekoran penularan Covid-19.

“Tidak dinafikan ada harga barangan termasuklah beras pada masa ini yang naik ketika kebanyakan negara kini berhadapan dengan Covid-19, maka dengan itu pengguna digalakkan untuk membeli keluaran tempatan yang sentiasa berada di pasaran,” katanya.

Che Abdullah terdahulu hadir ke Kilang Beras Faeza untuk meninjau bekalan beras dalam negara dalam masa yang sama memberi sokongan moral kepada para pengilang dan pengusaha-pengusaha pada waktu ini.-MalaysiaGazette