Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Seramai 36 lagi individu ditahan di sekitar ibu negara ekoran melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan tangkapan yang dibuat oleh polis Kuala Lumpur atas kesalahan berkenaan sebanyak 520 orang sejak bermulanya PKP 18 Mac lepas, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Katanya, mereka yang ditangkap pula berusia lingkungan 14 hingga 84 tahun.

“Semalam saja kita tangkap 36 orang, semua sekali tangkapan 520 orang yang langgar PKP. Jadi, mereka kena tahulah kalau mereka ingkar (ditangkap),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mazlan memberitahu, antara sekatan yang paling banyak dilalui kenderaan ialah di semua jalan masuk ke pusat bandar ekoran jumlah bilangan mereka yang mendapat kebenaran untuk bekerja.

Ujarnya, berbanding dengan jumlah bilangan kenderaan yang diperiksa pada cuti hujung minggu iaitu sekitar 50,000 buah kenderaan sehari berbanding hari biasa iaitu lebih 100,000.

“Kebanyakan mereka yang keluar ini merupakan mereka yang terlibat dengan essential services. Mereka ini ada surat (kebenaran). Yang mana tiada surat kita surub mereka patah balik,” tambahnya. – MalaysiaGazette