KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) meletakkan harapan tinggi agar kerajaan dapat bertindak membantu pengusaha-pengusaha agensi pelancongan yang telah terhenti perniagaan secara total akibat pandemik Covid-19.

Jika nasib pengusaha-pengusaha ini tidak dibela, sudah pasti agensi-agensi ini terpaksa gulung tikar.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, agensi-agensi yang paling terkesan dengan pandemik Covid-19 ini memerlukan antara 6 hingga 12 bulan selepas tempoh PKP untuk kembali bernafas.

”MATA masih meletakkan harapan yang tinggi agar pihak kerajaan dapat memikirkan sesuatu dengan segera agar mereka ini terbela,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Khalid menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkenaan Pakej Prihatin PKS membabitkan dana sebanyak RM10 bilion.

MATA mewakili 3116 ahli yang terdiri daripada pengusaha syarikat pelancongan, pengusaha hotel, pengusaha inap desa, pemandu pelancong, syarikat penerbangan, pengusaha taman tema, syarikat penggurup wang, syarikat insurans
serta usahawan PKS berkaitan industri pelancongan.

Beliau menyifatkan bajet tambahan dalam Pakej Ransangan Ekonomi Prihatian Nasionak khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana dapat mengelakkan pemberhentian pekerja secara berleluasa disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Subsidi upah selama tiga bulan yang diberikan sehingga RM1,200 sangat melegakan ahli MATA

Tambahnya, Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000 kepada pengusaha PKS mikro juga dapat membantu ahli kami yang terlibat dengan perusahaan kraftangan dan cenderamata.

”Begitu juga kepada ahli kami yang terlibat dengan penyediaan perkhidmatan pengangkutan, yang mana kebanyakannya membuat pinjaman dari syarikat kewangan mahupun pinjaman, kini boleh menarik nafas lega kerana kerajaan menggalakkan penyedia pinjaman juga untuk turut memberikan moratorium selama 6 bulan sama seperti pihak bank.

”Pemasuhan kadar faedah pinjaman juga akan dapat memberikan suntikan baru kepada pengusaha PKS dengan syarat standard prosedur pinjaman dapat dimudahkan dan mengurangkan birokrasi bank,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan bantuan sekali beri sebanyak RM600 kepada pemandu pelancong berdaftar dan telah mengisytiharkan 49 buah hotel untuk digunakan sebagai stesen kuarantin, yang pastinya memberi kelegaan kepada mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Perniagaan pelancungan dah jadi sejarah. ia tak akan pulih dalam masa 12 bulan. Mungkin kerajaan boleh bantu untuk hidup dalam pencarian peluan perniagaan lain.

Comments are closed.