Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah digesa menimbangkan kembali keputusannya yang melanjutkan penutupan operasi  ladang dan kilang kelapa sawit selaras dengan tempoh Perintah Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Datuk Seri Anifah Aman berkata, walaupun beliau memahami tindakan itu demi keselamatan rakyat di negeri itu, namun timbul juga isu-isu lain termasuk masalah kewangan kelak.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, Kerajaan Persekutuan turut membenarkan aktiviti-aktiviti dan operasi yang berkaitan dengan pertanian dan perikanan beroperasi semasa PKP.

“Saya faham akan keadaan kerajaan negeri perlu bertindak sewajarnya demi keselamatan dan kesihatan rakyat terutama sekali rakyat Sabah yang membendung Covid-19.

”Namun begitu keselamatan tanpa kesejahteraan rakyat juga akan mengundang masalah.

“Kesihatan memberi makna seseorang itu bebas penyakit, tetapi kesejahteraan membawa maksud seseorang mengambil langkah pencegahan supaya dirinya tidak berada dalam tekanan yang boleh menyumbang kepada penyakit.

“Misalnya, apabila berhadapan dengan masalah kewangan mahupun kerjaya, masalah itu boleh memberi kesan kepada emosi. Apabila emosi terganggu, kehidupan akan terganggu dan memberi kesan secara peribadi kepada diri dan menyebabkan  tekanan dalam diri.

“Begitu juga dengan majikan yang tidak dibenarkan menyebabkan mereka tidak berupaya membayar gaji. selain sumber makanan asas seperti minyak masak hasil daripada ladang dan kilang kelapa sawit juga akan berkurangan,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Anifah juga melahirkan kebimbangan kemungkinan besar kadar jenayah juga bakal meningkat sekiranya keadaan ekonomi terus merundum disebabkan rakyat hilang sumber pendapatan.

“Kita akan berdepan dengan pelbagai isu sebenarnya, itu juga antara punca mengapa Kerajaan Persekutuan membenarkan operasi berkaitan dengan pertanian, perikanan diteruskan ketika PKP ini,” tambahnya.

Katanya, tidak salah membenarkan aktiviti-aktiviti yang terlibat dalam perusahaan penting meneruskan operasi dengan syarat  mematuhi peraturan-peraturan pencegahan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Anifah yang juga bekas Menteri Luar  berkata, kerajaan negeri seharusnya mempertimbangkan semua aspek termasuklah faktor ekonomi sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Salah satu sumber pendapatan negeri ini ialah sektor kelapa sawit yang membawa lebih kurang RM1 bilion untuk pendapatan cukai.

“Jangan nanti apabila sektor ini tidak lagi dapat menyumbang, kerajaan negeri menggunakan alasan tiada duit bagi untuk bantuan rakyat sedangkan masih ada jalan yang dapat dilaksanakan untuk merancakkan keadaan ekonomi.

“Tolong timbang kembali keputusan melanjutkan penutupan operasi kilang serta ladang kelapa sawit ini, demi rakyat kita juga.

“Jangan sampai rakyat mati bukan kerana Covid-19 tetapi kerana kelaparan,” tegasnya. –MalaysiaGazette