Foto hiasan

TASEK GELUGOR – Golongan penanam sayur dan buah kini mampu menghela nafas lega susulan pengumunan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lepas, yang membenarkan sektor pertanian beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Tinjauan Bernama di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) dekat Ara Kuda, di sini mendapati aktiviti pertanian berjalan seperti biasa dengan para petani masing-masing sibuk menguruskan hasil pertanian untuk diedarkan kepada pemborong, yang kemudiannya dijual di beberapa pasar raya dan kedai runcit berhampiran.

Seorang penanam sayur dan buah, Rahemy Ab Rahim, 42, berkata arahan yang dikeluarkan kerajaan diharap dapat mengatasi masalah lambakan hasil pertanian kerana isu itu dilihat sebagai kemelut utama yang dihadapi rata-rata golongan penanam sayur dan buah.

“Buat masa ini kami beroperasi seperti biasa, namun dari segi perancangan kos pengeluaran tanaman, kami jarakkan masa (hari) supaya ia tidak melebihi permintaan bagi mengelakkan masalah lambakan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, sepanjang PKP beliau banyak bergantung kepada pemborong di sekitar Kepala Batas, Bukit Mertajam dan Padang Serai, Kedah untuk membeli hasil tanaman seperti sawi, kangkung, kacang panjang dan bendi memandangkan pemborong dari Jitra, Sungai Petani dan Alor Setar tidak dapat membeli hasil pertanian itu ekoran pergerakan yang terhad sepanjang PKP.

“Lambakan hasil tanaman (saya) dalam sehari mencecah satu hingga dua tan dan pihak FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) akan membeli lambakan itu untuk dijual di pusat FAMA di Perai, Butterworth. Inisiatif itu sedikit sebanyak memberi kelegaan buat petani,” katanya.

Seorang lagi penanam sayur, Teow Chun Tong, 47, berkata penjelasan terbaharu oleh kerajaan itu amat bertepatan, namun golongan petani sendiri perlu menitikberatkan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil sepanjang berurusan dengan pelbagai pihak termasuk pekerja dan pemborong bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan COVID-19.

“Apa yang dinyatakan oleh kerajaan itu bagus malah berharap urusan memungut hasil di sini akan berjalan seperti sedia kala tanpa melibatkan lebihan. Cuma bagi saya kesihatan itu perlu diutamakan kerana kita tidak tahu dengan siapa kita berurusan. Malah, saya sering tekankan pekerja untuk sentiasa mengutamakan kebersihan tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Tambahnya, beliau turut mengambil inisiatif mengagihkan lebihan sayuran seperti sawi bunga, timun, kacang panjang dan sebagainya kepada jiran tetangga dan golongan yang memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.

— BERNAMA