Kelihatan anggota Angkatan Tentera Malaysia berkawal pada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Malayan Mansion, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Keperluan harian termasuk makanan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Malayan Mansion dan Selangor Mansion adalah di bawah tanggungjawab kedutaan asing.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kedua-dua bangunan yang terletak di Jalan Masjid India itu majoritinya dihuni oleh warga asing.

“Kira-kira 97 peratus daripada penghuni kedua-dua premis adalah warga negara asing.

“Justeru, keperluan harian termasuk makanan adalah di bawah tanggungjawab kedutaan masing-masing.

“Kementerian Luar telah memaklumkan kepada kedutaan terbabit untuk mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan warga mereka,” katanya pada sidang media hariannya, hari ini.

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba bagi memeriksa penduduk berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berkuatkuasa susulan penularan wabak Covid-19 di Malayan Mansion, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 APRIL 2020

Semalam, kerajaan melaksanakan arahan PKPD di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19.

PKPD ke-4 itu melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di dua bangunan terlibat.

Menurut Ismail Sabri, penghuni dua premis terbabit boleh mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa yang ditempatkan dalam PKPD tersebut.

“Walaubagaimanapun, jika mereka memerlukan sebarang bantuan, boleh berurusan terus dengan Pusat Operasi PKPD di premis itu,” katanya. – MalaysiaGazette