?Pasukan teknikal TNB sedang membuat penyambungan bekalan elektrik ke pos kawalan sementara untuk kemudahan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang Keladi Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. Penyambungan adalah bagi tujuan pencahayaan semasa operasi PKP terutamanya pada waktu malam.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan pos-pos kawalan pasukan keselamatan yang terlibat dalam pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diterangi cahaya lampu.

Langkah ini adalah sumbangan kecil TNB demi kemudahan dan keselamatan para anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Datuk Ir. Baharin Din, dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk lokasi-lokasi strategik di sepanjang tempoh PKP, TNB sedar beberapa lokasi pos kawalan sementara di Semenanjung perlu diterangi pada waktu malam.

“Diharap inisiatif ini dapat memberi sedikit keselesaan dan meningkatkan tahap keselamatan anggota PDRM dan ATM yang bertugas pada waktu malam sehingga pagi.

“Menerusi kerjasama PDRM dan ATM, kami telah pun menyambungkan bekalan elektrik sementara ke pos kawalan dan memasang lampu jalan di beberapa lokasi untuk membantu
urusan pihak berkuasa yang bertugas dalam mengawal  pergerakan orang awam sepanjang tempoh PKP ini.” katanya.

Usaha mengenal pasti lokasi lain juga sedang dilakukan.

Jelas Ir. Baharin, bekalan elektrik ke khemah-khemah dan pos kawalan disambungkan dari talian sedia ada TNB yang terdekat, manakala lampu jalan tambahan dipasang menerusi tiang-tiang
elektrik milik TNB sedia ada di mana bersesuaian.

Setakat ini, lebih 120 lokasi pos kawalan telah menikmati kemudahan ini.

Antara lokasi pos-pos kawalan sementara yang telah diberikan kemudahan pencahayaan adalah Bentong dan Temerloh di Pahang; Kulai, Pontian, Simpang Renggam dan Kluang, Johor; Seremban dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Kota Bharu, Kelantan; Merlimau dan Jasin, Melaka; Kuala Kangsar, Perak dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette