Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd akan membantu pelanggan perusahaan kecil dan sederhananya (PKS) untuk mewujudkan perniagaan dalam talian untuk mengekalkan perniagaan mereka dalam tempoh mencabar ini.

Dalam kenyataan hari ini, CIMB Group berkata ia akan menyediakan sesi webinar percuma dengan Shopmatic, penyedia e-dagang utama di Asia Tenggara kepada semua pelanggan PKS dengan Akaun Semasa Perniagaan/Akaun-i Semasa Perniagaan CIMB.

“Platform itu akan membantu PKS beroperasi dalam cara yang praktikal dan lebih cekap semasa tempoh mencabar ini, apabila pergerakan yang terhad bukan menjadi halangan, untuk perniagaan dan pelanggan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial CIMB Group Victor Lee Meng Teck.

PKS yang bukan pemegang akaun perniagaan CIMB juga boleh mendaftar untuk sesi tersebut tertakluk kepada terma dan syarat. Ia biasanya RM1,500 untuk setiap sesi.

Katanya platform e-dagang Shopmatic, membolehkan pelanggan membina webstore, dengan ekosistem penuh terdiri daripada modul yang memberi tumpuan kepada barangan yang dipilih oleh pelanggan untuk pembelian (shopping cart), pemasaran e-mel, pembayaran, logistik dan pengoptimuman mudah alih, pembangun laman web serta pasaran dan saluran sosial.

Dengan komponen ini, pelanggan juga boleh menikmati gabungan kelebihan termasuk pembayaran bersepadu, penghantaran dan jualan di saluran seperti Facebook, Instagram, Lazada dan Qoo10.

Sesi webinar selama 60 minit, bertemakan “Build Your Own Store and Start Selling Online” akan diadakan sebanyak empat kali pada 9 dan 23 April serta 14 dan 21 Mei.

Maklumat untuk mendaftar webinar tersebut boleh didapati di https://communitymy.myshopmatic.com/build-your-own-store dan PKS juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected].

Inisiatif ini merupakan siri terkini untuk inisiatif sokongan susulan pengumuman CIMB mengenai Program Bantuan Kewangan COVID-19 untuk PKS yang menghadapi cabaran berikutan pandemik tersebut.

— BERNAMA