Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Fitch Ratings mengesahkan Penarafan Mungkir Penerbit (IDR) Matawang Asing Jangka Panjang Malaysia adalah ‘A-‘ namun kajian semula tinjauan adalah daripada stabil kepada negatif.

Fitch turut mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus pada 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, secara keseluruhan, langkah-langkah merangsang ekonomi negara dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai 2.9 mata peratusan pada tahun ini.

“Langkah-langkah komprehensif ini akan meletakkan Malaysia pada asas yang kukuh untuk mendapat manfaat daripada unjuran pemulihan global pada 2021.

“Walaupun perbelanjaan yang besar dikeluarkan dalam pakej rangsangan, komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal tidak goyah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, langkah memperkenalkan pembayaran one-off (sekali bayar), sementara dan had masa adalah bagi memastikan implikasi jangka sederhana terhad kepada kewangan awam.

Menurutnya, langkah-langkah tersebut adalah perbelanjaan tidak berulang dan usaha penyatuan fiskal akan disambung apabila keadaan kesihatan dan ekonomi stabil.

Katanya, bagi menyokongnya, rekod positif penyatuan fiskal kerajaan yang mana fiskal defisit telah menurun sebanyak separuh daripada -6.7% KDNK pada 2009 kepada -3.4% KDNK pada 2019.

“Kerajaan akan terus fokus kepada tadbir urus dan pembaharuan struktur untuk meletakkan negara pada asas yang kukuh.

“Kerajaan kekal komited terhadap agenda pembaharuan bagi memastikan tanbir urus yang baik, memperkukuhkan institusi dan memerangi rasuah, malah ketika ia melakukan inisiatif sedia ada dengan pengwujudan Pejabat Pengurusan Hutang dan penetapan Akta Tanggungjawab Fiskal pada 2021,” ujarnya.

Kata Tengku Zafrul, strategi fiskal tempoh sederhana akan dinyatakan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Unjuran Perolehan Kerajaan Persekutuan yang akan diterbitkan bersama Bajet 2021 pada Oktober ini.

Katanya, Malaysia terus mengekalkan kedudukan luaran yang sihat dengan aset luaran bank dan korporat yang kukuh, lebihan akaun semasa dan rizab antarabangsa berada pada tahap yang mencukupi.

Tambah beliau, aset luaran matawang asing terus mengatasi liabiliti luaran matawang asing.

Pada akhir 2019, kedudukan aset luaran matawang asing bersih berjumlah RM924 bilion, yang mana 94.5% aset luaran adalah dalam bentuk matawang asing berbanding 41.4% jumlah liabiliti luaran.

“Bersama kadar pertukaran yang fleksibel, ia akan terus menjadi penampan yang penting terhadap potensi kejutan luar.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, ketika penularan wabak Covid-19 memberi risiko kepada kestabilan kewangan, bank-bank Malaysia kini lebih berdaya tahan berbanding krisis sebelum ini.

Katanya, penampan sistem perbankan yang kukuh yang dibina sebelum ini selain pengurusan risiko yang baik diamalkan dijangka dapat mengurangkan kesan sebarang penurunan dalam kualiti kredit dan menyokong pembiayaan berterusan oleh bank-bank kepada ekonomi.

Jelas beliau, lebihan penampan modal bank adalah sebanyak RM121 bilion, tiga kali ganda lebih daripada penampan ketika krisis kewangan global pada 2008/09.

Kerugian bersih kekal rendah iaitu 1.0% daripada jumlah pinjaman sistem kewangan, katanya.

Tambah beliau, Nisbah Liputan Kecairan industri perbankan berada pada paras 148%, berada di atas keperluan minimum sebanyak 100%

Menurutnya, penampan ini di bersama amalan pengurusan risiko yang baik melatakkan bank pada kedudukan baik untuk menyokong aktiviti pinjaman dan ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette