PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan mesyuarat sebentar lagi bagi membincangkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin hasil mesyuarat itu pagi esok.

Tambah beliau, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu pelbagai aspek perkembangan kes wabak Covid-19 sebelum membuat keputusan.

“Kita akan bermesyuarat sebentar lagi, kita hendak terlebih dahulu melihat unjuran bersandarkan model perkiraan semasa, apakah yang mungkin akan berlaku dalam tempoh seminggu dua lagi.

“Ada juga jangkaan segelintir pihak mungkin akan berlakunya peningkatan kes secara mendadak dalam masa terdekat ini, oleh yang demikian kita juga akan kaji semua aspek terlebih dahulu.

“Kita harus buat unjuran akan ada peningkatan atau tidak, tetapi hari ini ianya menunjukan angka yang sungguh postif antara yang terendah iaitu 109 kes baharu positif,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian penularan wabak Covid-19 di KKM hari ini.

Menurut Noor Hisham, Perdana Menteri mungkin membuat kenyataan berhubung PKP esok.

Selain daripada KKM, agensi lain yang turut serta dalam mesyuarat itu adalah Institut Ekonomi Malaysia (MIER), pakar-pakar statistik serta epidemilogi.

PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 dan menurut perancangan ia akan berakhir pada 14 Mac ini. – MalaysiaGazette