SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan sebanyak RM297,000 untuk pemberian bantuan kepada 30,000 masyarakat Orang Asal di negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, bantuan menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Dua itu berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, susu, minyak masak dan sebagainya.
“Kerajaan negeri meluluskan pemberian bantuan kepada masyarakat Orang Asal di seluruh Selangor ini bertujuan untuk meringankan beban kehidupan harian mereka,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Menurut Amirudin, Orang Asal di Selangor sebanyak 5,941 keluarga yang merangkumi 74 kampung.
Katanya, masyarakat itu juga turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan berikutan penularan wabak pandemic Covid-19.
Pada 1 April lalu, kerajaan Selangor mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 melibatkan peruntukan RM272.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta khusus untuk menangani impak Covid-19.
Sebelum ini, Amirudin mengumumkan RM127.8 juta diperuntukkan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa pertama.
Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0 dirangka berdasarkan dua cabaran utama iaitu bagaimana menggempur wabak tersebut daripada terus merebak serta menangani cabaran ekonomi dihadapi semasa dan juga pasca pandemik.
Salah satu inisiatif akan dilaksanakan adalah saringan Covid-19 atau ‘mass test’ di kawasan panas atau zon merah dikenal pasti di negeri ini melibatkan sasaran seramai 5,000 orang dengan kos berjumlah RM1.35 juta. – MalaysiaGazette
















