Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang diumumkan kerajaan pada 27 Mac dan 6 April lepas membolehkan 146,390 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara yang hampir hilang sumber pendapatan harian, menarik nafas lega.

Setiausaha Biro Niaga Muda Gabungan Persatuan Penjaja Peniaga Kecil Melayu Malaysia (Gabungan Malaysia) Qairy Maheran berkata kedua-dua pakej itu menunjukkan keprihatinan sebuah kerajaan yang matang, selain memberikan kelegaan kepada PKS dan usahawan mikro.

Katanya, dengan suntikan dana tambahan sebanyak RM10 bilion bagi meringankan beban kewangan PKS menerusi bantuan modal tanpa faedah daripada Bank Simpanan Nasional sebanyak RM75,000 dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sejumlah RM10,000, akan membantu banyak usahawan PKS meneruskan perniagaan.

“Dengan pakej tambahan ini, pengusaha PKS mampu meneruskan perniagaan mereka dengan bantuan modal pusingan yang tidak membebankan, selain itu subsidi upah pekerja sebanyak RM1,200 selama tiga bulan juga meringankan beban majikan, jelas di sini kerajaan mengambil kira semua aspek termasuk majikan dan pekerja,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, pada 27 Mac lepas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.5 bilion melalui lima inisiatif utama antaranya, dana RM3 bilion kepada Tabung Bantuan Kemudahan Khas (kadar faedah dikurangkan kepada 3.5 peratus daripada 3.75 peratus); peningkatan saiz dana RM1 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan akses pembiayaan.

Seterusnya ialah RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang dikendalikan BSN dengan kadar faedah dua peratus (pembiayaan maksimum RM50,000, tanpa cagaran dan syarat dilonggarkan); Skim Biz Mula-i dan Biz Wanita-i di bawah Jaminan Kredit Malaysia Bhd (CGC) merangkumi pembiayaan sebanyak RM300,000 dengan rekod perniagaan kurang empat tahun dan peruntukan sebanyak RM5 bilion oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan yang ditingkatkan kepada 80 peratus (bagi yang menghadapi masalah pinjaman).

Berdasarkan data yang diperolehi daripada Biro Niaga Muda Gabungan Malaysia sehingga 3 April 2020, Kedah merupakan negeri yang paling terjejas iaitu sebanyak 15 peratus iaitu 22,160 usahawan, diikuti Perak 14 peratus (20,694), Johor 12 peratus (17,521), Selangor 10 peratus (14,768) dan Pahang 10 peratus (13,945).

Selain itu, kluster perniagaan yang terjejas teruk ialah penjaja tepi jalan tanpa premis, peniaga premis tetap, penjaja pasar malam, pasar tani, pengeluar produk dari rumah, jualan atas talian dan perkhidmatan, peniaga premis tetap (premis Pihak Berkuasa Tempatan), medan selera, bazar uptown serta peniaga lori saji.

Sehubungan itu, pihaknya melalui Gabungan Malaysia merancang untuk mengadakan bengkel pengurusan kewangan serta pengurusan syarikat termasuk pendigitalan perniagaan agar bantuan yang diterima dapat digunakan dengan cekap dan pada masa sama kebajikan pekerja tidak terabai.

“Pengusaha PKS juga perlu memahami antara barangan keperluan pelanggan berbanding barangan yang dirasakan boleh dijual selama ini, mereka perlu membuat perancangan yang jelas dalam urusan perniagaan kerana permintaan pasti mengambil masa yang lama untuk pulih.

“Saya harap semua anggota Gabungan Malaysia dan PKS agar bertenang dan mengambil langkah pro aktif untuk memohon dana bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pengguna akan lebih mengutamakan bahan keperluan asas seperti bahan mentah masakan, barangan kesihatan, keperluan penjagaan diri, penjagaan kesihatan, peralatan telekomunikasi serta pemasangan internet dan orang ramai akan berbelanja secara berhemah kerana COVID-19 ini pasti meninggalkan trauma yang mendalam.

— BERNAMA