Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abd Ghani Hassan.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) menyeru semua pegawai dan pemain pasukan Liga Malaysia supaya menerima penangguhan liga ketika ini secara terbuka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Ghani Hassan turut menggesa kesemua pasukan terus mengadakan perbincangan bersama pemain dan pegawai berhubung status kontrak ketika menempuh pandemik Covid-19 yang jelas memberikan impak besar kepada masalah kewangan setiap pasukan bertanding.

“Saya menyeru pegawai dan pemain pasukan agar menerima penangguhan liga ini secara terbuka dan terus mengadakan perbincangan dengan pemain dan pegawai berhubung status kontrak.

“Pujian harus diberikan kepada UKM FC yang telah mengadakan perbincangan bersama pegawai dan pemain manakala pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pula bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33 peratus dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini.

“Malah yang terbaharu, satu lagi kelab Liga Premier, Kuching FA sudah mendapat sokongan daripada pemain untuk melakukan pemotongan gaji sebanyak lima peratus pada bulan ini selain turut menderma kepada golongan terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap pasukan-pasukan lain dapat bergerak ke arah itu di mana bukan sahaja pasukan dari Malaysia sebaliknya seluruh kelab di dunia ini sedang terpalit mengalami masalah terjejas kewangan gara-gara pandemik COvid-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Ghani turut memaklumkan bahawa penaja-penaja utama iaitu Telekom Malaysia (TM), CIMB dan Shopee telah memberikan komitmen untuk terus kekal bersama dan mereka memberikan sokongan penuh kepada MFL ketika mengharungi detik sukar pandemik COvid-19. – MalaysiaGazette