Malaysia Airlines menerima 11 kelulusan ATR.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Golden Skies Venture Sdn Bhd (GSV), sebuah syarikat tujuan khas yang baru-baru ini mengemukakan bidaan rasminya untuk mengambil alih Malaysia Airlines Bhd (MAS), berminat untuk membina semula syarikat penerbangan nasional itu dengan model perniagaan yang lebih tertumpu, pengembangan rangkaian yang kukuh dan kumpulan pesawat yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shahril Lamin berkata GSV berhasrat untuk memulihkan MAS dalam tempoh tiga tahun selepas pengambilalihan itu selesai, selain memberi nafas baharu kepada jenama tersebut sebagai syarikat penerbangan premium.

Katanya GSV bercadang untuk membawa masuk lebih banyak pesawat badan besar untuk menyertai kumpulan pesawat sedia ada syarikat penerbangan nasional itu dan membantu menyediakan lebih banyak laluan jarak jauh yang baharu yang akan diraih melalui kerjasama strategik dengan pengendali syarikat penerbangan antarabangsa yang lain.

Ini termasuk destinasi di Asia dan Eropah yang utama, serta menyambung semula beberapa destinasi utama di Amerika Syarikat (AS) seperti New York dan Los Angeles.

“Selama ini, MAS tidak begitu jelas mengenai jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan telah mengurangkan laluan yang diberikan. Ini antara sebab utama masalah syarikat penerbangan itu.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah mentakrifkan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional global yang premium,” katanya kepada Bernama, menyatakan GSV juga akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mendapatkan penarafan Kategori 1 daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat untuk dikembalikan semula secepat mungkin.

GSV dipelawa oleh pemegang saham tunggal MAS, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), untuk menyertai dalam proses bidaan pada akhir Januari.

Bidaan dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan kepada Morgan Stanley, bank pelaburan global yang dilantik oleh Khazanah sebagai penasihat bebas.

Timbalan CEO GSV, Ravindran Devagunam, berkata tiada lagi pembiayaan daripada kerajaan diperlukan berikutan sejumlah US$2.5 bilion (RM11 bilion) akan disuntik oleh GSV untuk memberi nafas baharu kepada MAS/Malaysia Aviation Group.

Beliau berkata keperluan pembiayaan itu akan diraih daripada pembiayaan bank asing dan penyertaan ekuiti, menyatakan beberapa pelabur dari Jepun dan Timur Tengah amat berminat untuk meneruskan langkah itu.

Bagaimanapun, sekatan kepada pergerakan global baru-baru ini, telah menangguhkan langkah untuk memuktamadkan penyertaan ekuiti.

“GSV akan mempunyai kawalan pengurusan dan operasi. Kami juga akan membawa masuk perunding penerbangan yang berwibawa untuk memberi nasihat dan mempelawa syarikat penerbangan global yang terpilih untuk menjadi rakan kongsi kami,” katanya.

Ravindran berkata penting untuk GSV mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas MAS berikutan ia akan membolehkan syarikat itu melaksanakan perubahan yang diperlukan dengan berkesan.

Daripada jumlah dana itu, katanya sebahagian daripada modal tersebut akan diperuntukkan untuk peralatan (akan digunakan dalam tempoh lebih tiga tahun) dan sebahagian peruntukan untuk pembayaran balik tunggakan sukuk syarikat penerbangan itu sepenuhnya.

Ravindran adalah bekas Ketua Pegawai Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad dan bekas pengarah di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

GSV adalah 80 peratus milik Shahril, seorang peguam dengan pendedahan yang luas mengenai undang-undang penerbangan dan penswastaan, manakala baki kepentingan ekuiti sebanyak 20 peratus dipegang oleh Pengarah Eksekutif dan Pakar Ekonomi, Dr Puvanesvaran Sanjivee.

Menurut Puvanesvaran, usaha untuk membina semula MAS akan diterajui oleh Bumiputera sebanyak 51 peratus dan GSV komited untuk mengekalkan status MAS sebagai syarikat penerbangan nasional dan saham khas kerajaan.

Syarikat itu juga akan membantu kerajaan dalam membangunkan semula lapangan terbang, logistik, kejuruteraan, pelancongan dan ekosistem hospitaliti, katanya.

“Kami mahu membantu kerajaan dalam mengurangkan beban industri penerbangan terutamanya dalam persekitaran pada masa ini (pandemik COVID-19) yang mungkin akan menyebabkan pengurangan pekerja.

“Kami boleh melakukan pengambilalihan MAS dengan segera dan menyelamatkan pekerjaan lebih 13,000 pekerjanya,” katanya, sambil memberi jaminan bahawa tiada pemotongan gaji dan pemberhentian kakitangan barisan hadapan dan operasi syarikat penerbangan itu di bawah cadangan pengambilalihan GSV.

Beliau turut membayangkan susulan GSV berhasrat untuk mengambil alih 100 peratus ekuiti dalam MAG, yang termasuk MAS dan anak syarikat yang lain – MABkargo, MASwings, MAB Engineering dan Firefly, peluang pekerjaan yang luas akan diwujudkan sejajar dengan pelan pengembangan.

— BERNAMA