Seorang lelaki membayar zakat pada bulan Ramadhan semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Zakat merupakan rukun Islam keempat iaitu mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya. foto FAREEZ FADZIL, 02 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Lembaga zakat di setiap negeri digesa supaya mempercepatkan bantuan zakat kepada golongan yang dikenalpasti layak tanpa menunggu tibanya bulan Ramadhan.

Ini kerana, daripada sudut ekonomi dan kewangan, golongan paling terkesan dengan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah rakyat yang bergaji harian serta golongan B40, kata Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Menurut beliau, lanjutan tempoh PKP seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bermakna mereka sudah hilang mata pencarian selama sebulan setengah.

“DPIM turut menggesa Kerajaan untuk terus membantu semua golongan yang terkesan dengan lanjutan tempoh PKP ini, terutama golongan barisan hadapan, dengan harapan mereka kekal kuat dan bersemangat.

“Bantuan dari sudut sokongan emosi amat diperlukan kerana mereka juga manusia biasa yang menerima ujian getir ini.

“Bayangkan peritnya perasaan seorang ibu yang bekerja sebagai doktor dalam tempoh PKP dan lanjutan PKP serta terpaksa mengasingkan diri daripada anak-anak dan keluarga kerana tidak mahu memberikan risiko jangkitan Covid-19 kepada orang tersayang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, pihaknya menyokong keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh PKP demi mengekang dan membendung penularan Covid-19.

Keselamatan rakyat Malaysia sememangnya menjadi keutamaan dan tanpa PKP, usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan sukar dilakukan, ujar.

Dalam pada itu kata beliau, DPIM berharap jemaah menteri akan terus bekerja untuk rakyat tanpa gimik politik ketika krisis berkenaan.

Katanya, setiap menteri dan kementerian mempunyai tanggungjawab khusus ketika krisis ini demi menjaga kesejahteraan rakyat.

“Tahniah diucapkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang pantas dalam menangani krisis Covid-19 di kalangan gelandangan.

“Walaupun tiada “outbreak” atau pencetus kluster di kalangan gelandangan, tetapi menteri wilayah dilihat proaktif dengan menjaga keselamatan dan kesihatan golongan gelandangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette