Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu semua pihak harus akur dan hormat dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mencadangkan semua pelajar yang masih berada di kampus tidak dihantar pulang ke kampung masing-masing buat masa ini.

Kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, biar pun cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menghantar semua penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) adalah bagus namun ia perlu dipertimbangkan semula ekoran penularan Covid-19 di negara ini yang masih belum reda.

“Walaupun saya amat menyokong usaha KPT untuk mula mengatur usaha membawa balik kira-kira 80,000 pelajar-pelajar Institusi-institusi Pengajian Tinggi untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan perlaksanaan PKP Fasa ke-3 ini.

“Saya juga amat menghormati dan akur dengan nasihat Dr Noor Hisham Abdullah Ketua Pengarah Kesihatan untuk menangguhkan dahulu inisiatif tersebut bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan PKP untuk benar-benar memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Noor Hisham berkata cadangan itu tidak sesuai buat masa ini kerana fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penting dalam menentukan kejayaan untuk memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).

“Cadangan kita, nasihat kita kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersabar.

“Mungkin dalam seminggu dua sekurang-kurangnya atau dalam tempoh seminggu kita akan melihat data yang terkini.

“Jadi, kalau kita ada data-data yang terkini untuk tempoh seminggu dalam fasa ketiga ini, kita boleh memberi nasihat kepada KPT,” katanya semalam.

KPT baru-baru ini berkata pihaknya sedang meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad dilaporkan berkata, keutamaan ketika ini bukan hanya menghantar pulang mereka tetapi pulang dalam keadaan selamat dan sihat. -MalaysiaGazette