Pencuci di wad pesakit Covid-19, Suhaini Mawardi ketika ditemubual oleh Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- Demi mencari sesuap nasi buat keluarga, Suhaini Mawardi, tukang cuci di wad pesakit Covid-19 Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengenepikan rasa takutnya terhadap wabak tersebut.

Menurut petugas Radicare (M) Sdn. Bhd. itu, dia telah diberi taklimat berhubung tatacara dan standard prosedur operasi (SOP) sebelum ditugaskan untuk mencuci wad-wad berkenaan.

“Memang rasa takut kerana wabak ini boleh membunuh tetapi saya terpaksa juga bekerja kerana mahu mencari rezeki buat keluarga.

“Saya ketepikan rasa takut tersebut, tambahan pula pihak syarikat, para doktor dan jururawat di sini telah memberitahu cara-cara yang perlu dibuat untuk melindungi diri dan keluarga ketika bertugas di wad pesakit Covid-19.

“Jadi, lama-lama sudah terbiasa cuma kita perlu pastikan sentiasa memakai PPE dan amalkan penjagaan kebersihan sepenuhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Petugas pembersih melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan laluan yang membawa mayat selepas dipercayai jangkitan wabak Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2020

Menurut wanita yang berasal dari Lombok, Indonesia itu, tugasnya setiap hari adalah untuk mencuci wad-wad tersebut dan kerja berkenaan perlu dilakukan dengan pantas tetapi teliti.

Ini bagi memastikan virus berkenaan tidak tersebar.

“Sebelum dan selepas pesakit dipindah masuk atau keluar dari wad, saya akan mulakan tugas mencuci dari dalam wad sehinggalah ke lif. Syif saya lapan jam sehari,” katanya lagi.

Menurut ibu kepada dua anak itu, dia akan mandi dan menukar pakaian di hospital setiap kali habis bertugas sebelum pulang ke rumah.

Katanya, rutin tersebut adalah atas arahan doktor yang sama-sama bertugas di wad berkenaan.

Petugas hospital sedang menolak mayat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020

Tinjauan MalaysiaGazette di HKL baru-baru ini mendapati tukang-tukang cuci di wad berkenaan ]tidak menang tangan’ untuk memastikan wad-wad pesakit Covid-19 sentiasa bersih dan dinyah-cemar.

Kami yang kebetulan sedang membuat pengambaran di situ juga berkesempatan melihat sendiri bagaimana mayat seorang pesakit Covid-19 dipindahkan dari wad unit rawatan rapi (ICU) yang berada di Tingkat Tiga, HKL ke bilik mayat.

Petugas pembersihan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan laluan yang membawa mayat Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

Dua orang petugas kesihatan memakai Pakaian Pelindungan Diri (PPE) berwarna kuning kelihatan menolak troli mayat keluar daripada wad ICU manakala beberapa polis bantuan segera mengosongkan laluan yang bakal dan telah digunakan.

Selepas mayat ditolak keluar, tukang-tukang cuci yang lengkap berpakaian PPE pula mengambil tugas untuk mencuci dan sanitasi.

Setiap pergerakan adalah sangat pantas dan tersusun.

Kami bagaimanapun tidak dibenarkan untuk membuat liputan di rumah mayat.- MalaysiaGazette