najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Denda RM10,000 dan penjara adalah langkah terbaik untuk memberi pengajaran kepada golongan ‘kluster kayangan’ yang mencetuskan isu sejak kebelakangan ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ini kerana segelintir golongan yang pulang daripada luar negara begitu angkuh dan sombong sehingga tidak memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan.

“Ramai petugas hadapan mengeluh kerana kecewa dengan sikap mereka. Petugas kita sudah penat, letih dan rindukan keluarga. Kini, terpaksa berhadapan dengan golongan tidak bersyukur ini.

“Jika kluster kayangan ini dikuarantin di Pakistan baru mereka tahu erti bersyukur. Tolong jangan menyusahkan orang lain,” katanya dalam satu kenyatan di Facebook miliknya hari ini.

Mengulas lanjut Najmil yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu yakin rakyat negara ini hampir menang berdasarkan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertungkus lumus memastikan negara ini bebas daripada Covid-19.

“Kita sebagai rakyat perlu sentiasa akur dengan arahan kerajaan. Jangan ada yang ingkar, keluar tanpa sebab, tidak beri kerjasama dengan pihak berkuasa dan menyebarkan berita palsu. Itu semua akan melemahkan momentum kita.

“Terima kasih semua pihak yang tidak mengenal erti penat dalam melindungi kami rakyat Malaysia. Saya amat bersyukur menjadi rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.