Universti Tenaga Nasional (UNITEN) menghasilkan sendiri pelindung muka (face shield) berkualiti.

KUALA LUMPUR – Terpanggil bagi membantu pasukan barisan hadapan yang terdedah secaa langsung dengan Covid-19 – Universti Tenaga Nasional (UNITEN) di Putrajaya menghasilkan sendiri pelindung muka (face shield) berkualiti.

Inisiatif itu dilakukan oleh Kolej Kejuruteraan UNITEN dan ia dihasilkan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia kemudiannya disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan seperti petugas hospital dan pasukan keselamatan.

Bahan yang digunakan bagi menghasilkan pelindung muka ini adalah 3D filaments yang diperbuat daripada polimer seperti PLA atau ABS dan helaian pelindung plastik.

Pelindung muka UNITEN dibuat daripada teknologi 3D filaments yang diperbuat daripada polimer seperti PLA atau ABS.

Dekan Kolej Kejuruteraan UNITEN, Prof. Ir Dr Izham Zainal Abidin berkata, projek itu dibiayai menerusi sumbangan daripada warga UNITEN dan dilaksanakan oleh pasukan UNITEN Face Shield dengan menggunakan pencetak 3D sejak awal April lalu.

Anggota kerja dan alumni UNITEN yang terlibat dalam menghasilkan pelindung muka.

“Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini, kita mengkaji apa yang mampu kita sumbangkan melalui kepakaran yang ada dan di sinilah inisiatif terhasilnya untuk membantu menyediakan kelengkapan kepada barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah menurutnya, penyerahan sumbangan pelindung muka UNITEN sebanyak 90 unit kepada komuniti Team Face Shield Kajang-Bangi disempurnakan oleh Naib Canselor UNITEN, Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha baru-baru ini.

 

Naib Canselor UNITEN, Prof. Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan pelindung muka kepada Team Face Shield Kajang-Bangi di UNITEN baru-baru ini.

Izham seterusnya berkata, pasukan UNITEN Face Shield bergabung tenaga dalam melicinkan urusan pengagihan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan bersama syarikat RcBotz Engineering yang dimiliki oleh dua siswazah UNITEN iaitu Muhammad Husni Faiz Khamarudin dan Muhammad Fahmi Abdul Ghani.

“RcBotz adalah wakil daripada komuniti Team Face Shield Kajang-Bangi yang mengagihkan pelindung muka kepada hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan yang terdapat di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan UNITEN Face Shield menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 1,000 unit pelindung muka dalam tempoh sehari demi memenuhi permintaan yang tinggi pada masa kini.

Justeru, menurut Izham, pihaknya kini mencari mana-mana syarikat atau individu yang memiliki mesin pencetak 3D untuk berkolaborasi dengan UNITEN untuk meningkatkan jumlah penghasilan produk pelindung muka dalam masa terdekat.

“Lebih banyak mesin pencetak 3D yang beroperasi bermakna lebih banyak unit pelindung muka dapat dihasilkan dalam tempoh sehari.

“Kami mempunyai tiga buah unit mesin cetakan 3D yang digunakan untuk tujuan ini yang mana mesin mempunyai kemampuan untuk menghasilkan 20 unit pelindung muka sehari,” katanya.- MalaysiaGazette