Azrif Hizani Badrul Hisham

KUALA LUMPUR – Meskipun terkurung di dalam asrama, mahasiswa di dalam negara sepatutnya berasa lega kerana masih berada di negara sendiri dan kebajikan mereka dijaga dengan baik.

Lantaran itu, mereka perlu akur dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan sekarang.

“Berbanding kami di Mesir, rasa sangat jauh dari keluarga ketika saat-saat ini,” luah penuntut tahun dua Fakulti Perubatan, Universiti Al Mansoura, Azrif Hizani Badrul Hisham.

Beliau mengakui penularan wabak Covid-19 yang semakin menggila di seluruh dunia menjadikan kehidupan penuntut Malaysia di luar negara lebih mencabar dari aspek mendapatkan bekalan makanan, selain kadar pertukaran asing yang tinggi sekarang ini.

“Sebelum ini memang ada pihak kedutaan dan wakil dari negeri-negeri yang memberi bekalan kepada penuntut,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Fakulti Perubatan di universiti juga ada sekali menyumbang satu sarang telur dan seekor ayam.

Namun, katanya, kini ramai penuntut mula bimbang kerana bekalan semakin kurang dan pergerakan pula terbatas.

“Bekalan makanan semakin berkurangan dan kadar pertukaran wang pula semakin naik iaitu 3.61697 berbanding RM1. Inilah buat kami risau jugak.

“Apa yang mampu kami lakukan adalah berdoa dan berharap keadaan penularan wabak ini dapat dipulihkan,” tambahnya.

Azrif memberitahu, walaupun ada sebahagian penuntut yang mengambil keputusan untuk balik ke Malaysia tetapi majoriti masih berada di sana walaupun terpaksa melalui perintah berkurung memandang tarikh peperiksaan semakin hampir.

Mengikut jadual, peperiksaan akan berlangsung pada Jun atau Ogos ini, selain jadual universiti masih berjalan seperti biasa kerana pensyarah mengadakan kelas secara online. Malah, para penuntut turut dibekalkan dengan e-book.

MalaysiaGazette difahamkan kebanyakan penuntut yang pulang pula di atas perbelanjaan sendiri dan kos tambang pula meningkat sekali ganda.

Azrif berkata, Mesir kini dikenakan perintah berkurung mulai jam 8 malam hingga 7 pagi setiap hari bagi menyekat perjalanan orang ramai dalam usaha membendung Covid-19.

Seperti Malaysia, katanya, Mesir turut meminta orang ramai menggunakan topeng mulut dan hidung serta melakukan penjarakkan sosial. – MalaysiaGazette