Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Nota penyelidikan JP Morgan Yang mengunjurkan Malaysia mencapai sasaran 6,000 kes positif Covid-19 menjelang pertengahan bulan ini ternyata meleset.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah terkini pesakit positif Covid-19 kini adalah pada paras 4,817 kes sahaja.

“JP Morgan jangka kita ada peningkatan 6,300 kes, 4,817 kes di mana sasaran kita kurang daripada 6,300 kes yang diunjurkan oleh JP Morgan.

“Kita kurang daripada 5,000 kes, kita boleh catatkan kurang daripada sasaran itu. PKP 1 dan 2, berkesan,” katanya dalam sidang media KKM hari ini.

JP Morgan pada 25 Mac lalu menjangkakan Malaysia akan berhadapan dengan peningkatan sehingga 6,300 kes susulan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Laporan itu berkata strategi pengujian Malaysia yang agresif dengan menggunakan kaedah ‘ujian setiap juta kapita’ untuk Covid-19 mendahului negara ASEAN dan beberapa negara Eropah.

Kata JP Morgan, langkah itu akan membawa kepada jumlah jangkitan yang dilaporkan tinggi dan memberi keyakinan terhadap perkembangan kes dan kadar kematian yang sederhana.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata PKP fasa ketiga adalah fasa pemulihan penularan wabak Covid-19.

“Minggu 13, kita dalam fasa pemulihan tapi kita masih memantau sebab kes belum surutkan lagi kes ini. Minggu ketiga ini penting kalau boleh, kurangkan kes, bukan sahaja landaikan (graf), kita perlu tamatkan kewujudan Covid-19,” katanya lagi. -MalaysiaGazette