Tapak stesen 5G di MAEPS, Serdang.

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) telah memasang stesen pemancar 5G di dua buah pusat kuarantin bagi kes-kes Covid-19 iaitu Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, Selangor.

Pemasangan stesen pemancar 5G itu membolehkan pasukan barisan hadapan, perubatan serta pesakit yang dimasukkan ke pusat kemudahan tersebut menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang dipertingkatkan menerusi sambungan 5G.

Kedua-dua pusat kuarantin telah diperuntukkan sebanyak 50 unit terminal Akses Wayarles Tetap 5G (5G Fixed Wireless Access terminal) secara percuma yang memberikan sambungan wifi sehingga 500Mbps kepada pengguna dan semua penggunaan WiFi menerusi rangkaian 5G itu juga adalah percuma.

Inisiatif Tanggungjawab Korporat terbaharu daripada TM itu adalah lanjutan daripada Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi dan Subang Jaya baru-baru ini, yang mana pelaksanaan di pusat-pusat kuarantin berkenaan menggunakan aturan rangkaian teras 5G yang sama seperti di Langkawi, Kedah.

Dengan kepakaran, sumber dan pengalaman 5G dimiliki, TM berjaya melaksanakan pemasangan stesen pemancar itu hanya dalam masa beberapa hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha tanggungjawab korporat kami dalam membantu kerajaan ke arah membendung penularan pandemik Covid-19.

Pelaksanaan stesen pemancar 5G juga menggambarkan kepakaran dan keupayaan TM dalam menyediakan perkhidmatan 5G kepada rakyat Malaysia seluruh negara.

TM, bersama-sama dengan cabang penyelesaian perniagaan dan sektor awamnya – TM ONE, serta cabang inovasinya – TM R&D Sdn Bhd (TM R&D) juga terlibat dalam 5GDP kelolaan SKMM di Langkawi dan Subang Jaya.

Menerusi 5GDP, TM mencatatkan beberapa pencapaian pertama untuk kumpulan dan negara di rantau ini.

Katanya, TM adalah telco pertama di dunia yang melaksanakan 700 MHz dan C-Band (3.5 GHz) pada rangkaian 5G Kendiri (Standalone – SA) khusus secara serentak.

Selain itu, Syarikat melaksanakan Rangkaian Teras 5G (5G Core Network – 5GC), 700MHz dan Rangkaian 5G SA 3.5 GHz khusus dan Rangkaian Akses Radio (RAN) berpusat 5G. – MalaysiaGazette