KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) agar tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk membuat pemotongan gaji sebelum menyelesaikan perkara yang lebih utama.
Menerus kenyataannya di Facebook Johor Southern Tigers, TMJ menegaskan agar jangan bercakap mengenai pemotongan gaji sekiranya masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji dengan pemain.
Kata beliau, isu pemotongan gaji dalam kalangan pemain bola sepak kini menjadi topik utama yang dibincangkan dalam arena bola sepak di seluruh dunia selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan garis panduan mengenai perkara itu kepada semua pasukan bola sepak.
“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.
“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.” ujar pemilik kelab Johor Darul Ta’zim itu.
TMJ menambah, kebanyakan pasukan bola sepak masih bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan negeri dan pasukan-pasukan ini sepatutnya tiada masalah untuk membayar gaji seperti biasa.
“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri,” katanya.
Ahad lalu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengeluarkan kenyataan yang juga senada dengan peringatan TMJ dengan meletakkan dua syarat kepada pasukan sekiranya mahu melaksanakan pemotongan gaji ke atas pemain.
Syarat pertama adalah pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik COVID-19 bermula wajib menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu dan syarat yang kedua, rundingan serta persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain, dan bukan dilakukan secara ‘pukul rata’. – MalaysiaGazette
















