Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Bagi mengawal orang ramai berkumpul di bazar Ramadan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan cadangan bagi melaksanakan e-bazar merupakan cadangan terbaik.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pelaksanaan e-bazar sempena bulan Ramadan dilihat lebih terkawal bagi mengelak kehadiran pelanggan dalam jumlah yang ramai.

“Masalahnya sekarang bukan bazar Ramadan. Isunya adalah pelanggan datang ke bazar menjadikan ia tidak terkawal. Bagaimanapun banyak kaedah yang kita bincangkan antaranya melaksanakan e-bazar Ramadan.

“Kaedah e-bazar dilihat lebih terkawal dengan menghantar makanan ke rumah dan sebagainya. Itu antara cara teknologi yang kita guna sekarang ini sebab pada masa ini pun banyak menggunakan penghantaran makanan,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Dalam pada itu, perkhidmatan penghantaran makanan, kata Noor Hisham boleh menyelesaikan masalah larangan perhimpunan beramai-ramai yang kerap kali dibangkitkan oleh KKM.

“Mungkin ini antara cara untuk selesaikan masalah bazar Ramadan. Kita perlu akur bahawa kelaziman sudah berubah.

“Jadi kita melihat e-bazar Ramadan memenuhi kriteria KKM untuk memastikan tiada perhimpunan ramai hanya untuk membeli makanan dan sebagainya,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang mengambil langkah membenarkan peniaga makanan negeri itu berniaga di rumah dan bahu jalan susulan PKP ketika Ramadan tahun ini.

Azlan berkata, perkara terbabit dibenarkan kepada peniaga, selagi mereka mematuhi syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ia bertentangan dengan pendirian kerajaan yang memutuskan tiada bazar Ramadan dibenar beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Keputusan itu dibuat bagi meneruskan usaha membendung penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast