Para petugas memakai sut PPE sebelum melakukan kerja-kerja saringan Covid-19 keatas orang awam yang hadir untuk membuat pemeriksaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

KUALA LUMPUR- Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) menyumbang polypropylene (PP) sejenis bahan mentah yang digunakan untuk membuat pelindung muka kepada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Advanced Technology Training Centre (Adtec) di Jerantut, Pahang.

Adtec adalah sebuah agensi di bawah Jabatan Buruh, Kementerian Sumber Manusia.

Menurut PCG, bahan PP tersebut membolehkan UiTM dan Adtec mengeluarkan lebih 100,000 rangka pelindung muka yang kemudiannya akan dibekalkan kepada hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat di bawah Program Bantuan Covid-19.

Dalam pada itu, anak syarikatnya, Kertih Port Sdn. Bhd. (KPSB) dan Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PCFSSB) turut menyediakan peralatan untuk meningkatkan pengeluaran Peralatan Pelindung Diri (PPE) seperti apron serta penutup kepala dan kaki.

Peralatan-peralatan tersebut akan diagihkan kepada 10 pusat saringan dan kuarantin di Dungun.

Di Sipitang, Sabah pula, PCFSSB membekalkan solusi Hypoclorite kepada Majlis Daerah Sipitang untuk tujuan sanitasi awam di bandar berkenaan.- MalaysiaGazette